Siapa kata Superman mati?
Sekali lagi khabar palsu mengenai kematian selebriti bertiup. Kali ini yang menjadi mangsa ialah pelakon yang membawa watak Superman dalam filem Justice League, Henry Cavill.
Ia bukan saja menggemparkan ramai peminat, malah turut mengejutkan Cavill sendiri.
Seperti kebanyakan orang dia menggunakan ruang di media sosial untuk menjelaskan keadaan sebenar.
Memaparkan gambar mukanya yang berkerut seolah-olah kehairanan, Cavill, 34, menulis kapsyen secara sinis mengiringi imej berkenaan.
“Apabila mengetahui diri kamu sudah mati dua hari lalu,” katanya di akaun Instagram yang memiliki hampir 5 juta pengikut.

Turut dipaparkan bersama wajah berkerut Cavill ialah tangkap layar halaman enjin carian Google yang menunjukkan maklumat kononnya dia meninggal dunia pada 3 Mac lalu.
Perkongsian itu tentu saja membuatkan peminat memberi pelbagai reaksi, antaranya yang gembira kerana adiwira mereka sememangya masih hidup.
“Superman hidup!” kata seorang sebagai tindak balas di ruangan komen.
Seorang yang lain pula menulis: “Anda nampak segar walaupun untuk seorang lelaki yang sudah mati.”

Selain Cavill, Sylvester Stallone juga antara pelakon Hollywood yang menerima nasib sama apabila dikhabarkan meninggal dunia baru-baru ini.
Bintang filem Rocky dan Rambo itu berkongsi imej dirinya sambil memuat naik kapsyen: “Tolong hiraukan kebodohan ini... hidup, sihat dan gembira...masih meninju!”
Selain menjadi Superman, Cavill juga pernah muncul dalam filem lain seperti The Count of Monte Cristo pada 2002, I Capture The Castle (2003) dan Batman v Superman: Dawn of Justive (2016).
Status itu dimuat naik oleh Cavill kira-kira 20 jam lalu dan hasil semakan Malaysiakini petang ini ia mendapat lebih 800,000 tanda suka dan lebih 44,800 komen.

