Rock kangkang gegar Panggung Anniversari
Fenomena genre muzik rock sejak awal 80-an terus berevolusi dan mempunyai impak yang tersendiri terhadap perkembangan muzik tanah air.
Lebih dikenali sebagai rock kapak atau rock kangkang, sehingga kini genre muzik berkenaan tetap segar dalam ingatan peminatnya yang tersendiri.
Meskipun era kegemilangan rock kapak sudah berakhir, sebahagian besar lagu yang pernah dipopularkan mereka kekal menjadi siulan.
Nama-nama kumpulan seperti Search, Wings, Lefthanded, May dan lain-lain terus dikenang dan menjadi legenda dalam hati peminat mereka.
Menyedari hakikat bahawa masih banyak kugiran sebegini wujud dan mempunyai pengaruhnya yang tersendiri, satu persembahan dirangka ROCK ATTACK! “Revival Rock Malaysia” bakal menampilkan kumpulan berpengaruh era 80-an dan terkini.
Mereka terdiri daripada kumpulan SYJ, Junction, Rampage (kumpulan baru Yazid Search) dan Floor 88.
Konsert berkenaan dijadual berlangsung pada 10 Mac 2018 (Sabtu) bermula 8.00 malam bertempat di Panggung Anniversari Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.
Ia sebuah siri konsert percuma di bawah program Kuala Lumpur Ceria anjuran Unit Muzik Jabatan Kebudayaan Kesenian Pelancongan dan Sukan DBKL.
Konsert yang akan dihoskan oleh Lando Zawawi itu turut menampilkan pelbagai selingan seperti pertunjukan solo gitar, pertandingan “Pakaian Paling Rock” serta cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah Gitar Vintage Epiphone yang ditandatangani oleh para selebriti rock.

