Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Farid Kamil ke mahkamah lagi esok
Diterbitkan:  Mar 8, 2018 3:32 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Pelakon dan pengarah filem terkenal, Datuk Farid Kamil Zahari akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok atas kesalahan membuat laporan palsu berhubung kes dadah yang dihadapinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata Farid Kamil, 37, akan dituduh mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan.

"Kes telah dirujuk kepada Pengarah Perundangan Selangor dan diarahkan dituduh mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mengada-adakan keterangan palsu," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang dirasmikan Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor di Shah Alam hari ini.

Pada 4 Feb lepas, Farid Kamil membuat laporan polis menyatakan dirinya dianiaya tiga rakan artis yang didakwa mencemarkan minumannya dengan dadah sehingga mendorongnya berkelakuan ganas.

Bagaimanapun, dalam satu sidang media di Shah Alam beberapa hari selepas itu Farid Kamil mendakwa, dua individu yang diminta tampil bagi membantu siasatan polis dalam kes melibatkan dirinya bukan rakan artis berkenaan.

Katanya, nama dan foto dua individu terbabit telah diserahkan kepada pihak polis ketika laporan dibuat, namun sebaliknya siasatan dilakukan ke atas individu berbeza.

Pada 16 Jan lepas, suami kepada pelakon popular Datin Diana Danielle itu mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Selain itu, pada 25 Jan lepas, Farid Kamil juga mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis THC (11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid).

- Bernama

Lihat Komen
ADS