Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Pengalaman berkecimpung selama sedekad dalam industri hiburan banyak mengajar Nabil Ahmad asam garam kehidupan yang mematangkannya sebagai anak seni.

Meskipun pernah dihimpit kontroversi, pelawak dan pengacara popular itu bersyukur pengalaman jatuh bangun banyak mengubah dirinya hingga sampai ke tahap sekarang.

“Alhamdulillah sudah 10 tahun berada dalam industri. Walaupun sudah sampai ke tahap ini saya akui masih perlu belajar untuk terus memperbaiki diri.

“Tidak dinafikan anda semua mengenali saya. Untuk tahu dosa saya hanya perlu Google tetapi perkara itulah yang banyak mengajar diri ini.

“Kesilapan menjadikan diri ini siapa di kemudian hari, inilah Nabil Ahmad selepas 10 tahun, masih bernafas,” katanya yang belum terfikir untuk bersara dan ingin memperkukuhkan namanya hingga 20 tahun lagi.

Pemilik nama penuh Ahmad Nabil Ahmad, 34, itu ditemui pada sidang media Sedekad My Story Nabil Ahmad Dalam Industri yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

Acara itu diadakan sempena mengumumkan majlis bagi meraikan ulang tahun ke-10 pembabitan Nabil sebagai anak seni yang akan diadakan pada 24 Mac depan.

Sebagai memperingati detik kegembiraan itu juga, pada tarikh sama Nabil turut berhasrat memberi hadiah istimewa buat peminat yang sentiasa menghargai dan menyokong perjalanan kariernya selama ini.

Kata Nabil, tiada cara lebih baik untuk menghargai insan-insan yang dianggap menjadi penggerak kariernya itu selain ingin berkongsi rezeki dengan mengerjakan umrah bersama-sama mereka Ramadan depan.

“Umrah adalah jalan terbaik untuk merealisasikan impian semua orang. Kepada mereka yang mahu menyertai, ini adalah peluang sebaik-baiknya yang tidak perlu dilepaskan.

“Saya memilih untuk berpuasa bersama peminat di Tanah Suci. Ini adalah kali pertama saya beri hadiah istimewa kepada peminat sejak menjadi anak seni,” katanya.

Bagaimanapun, Nabil tidak menjelaskan butiran lanjut mengenai program berkenaan kerana khuatir disalah guna pihak tidak bertanggung jawab yang sanggup menipu menggunakan modus operandi pakej umrah.

“Semua maklumat mengenai umrah itu sama ada percuma atau perlu menanggung kos tertentu akan dimaklumkan pada sambutan majlis ulang tahun itu nanti,” katanya.

Menurut Nabil, tawaran itu dibuka bermula hari ini dan individu yang berminat boleh menghubungi talian 019-3816252 atau layari akaun Facebook myumrahstory atau Instagram @myumrahstory.

Program My Umrah Story Bersama Nabil akan dikendalikan syarikat pengurusan Urban Platinum Resources.

 

Lihat Komen
ADS