Selebriti Indonesia Syahrini memang sentiasa menjadi perbualan, termasuk apa saja yang dibuatnya. Terbaru dia mengundang kecaman di media sosial kerana melanggar undang-undang ekoran bergambar di tepi lebuh raya di Surabaya.

"Melangkah manja di lebuh raya Surabaya," katanya mengiringi gambar tersebut di Instagram miliknya yang memiliki lebih 20 juta pengikut.

Ia berjaya mendapat lebih 140,000 tanda suka dan 4,000 komen dengan sebahagiannya mengkritik tindakan tersebut.

"Cantik, bergaya dan kaya, tetapi isi otaknya kosong. Ini ciri-ciri kurang (mendapat) perhatian, bergambar di bahu jalan tol (lebuh raya) supaya heboh," kata pengguna akaun @sriilova.

"Sudah tahu salah, tetapi gambar tidak dipadam. Malu jadi perhatian umum" kata @adam_indra23 pula.

Penyanyi berusia 35 tahun itu kemudian tampil memberi penjelasan dengan berkata dia dan rombongannya berhenti di lebuh raya itu hanya untuk beberapa minit.

Dia juga mengaku meminta pihak pengurusannya berhenti sebentar untuk bergambar kerana terpukau dengan pemandangan di sana seperti di luar negara.

“Saya lihat dari jauh ada jambatan yang mirip di luar negara. Jom turun dua, tiga minit.

"Kami berada di situ tidak lama. Jika diperiksa rakaman kamera litar tertutup ia lebih kurang dua minit saja," katanya seperti dipetik laman Kapan Lagi semalam.

Tak tahu salah

Wanita kelahiran Bogor itu berkata, saat keluar untuk bergambar dia diawasi unit rondaan lebuh raya.

“Saya berada di bahu jalan, bukan di tengah jalan. Saya juga tidak tahu jika tidak boleh berhenti kalau bukan berlaku kecemasan.

"Saya bingung, andainya ada yang tidak tahan hendak kencing. Saya juga sering berasa begitu saat mengikut konvoi apabila terpaksa tunggu kereta lain di bahu jalan," katanya sambil memaklumkan kehadirannya ke Surabaya atas undangan nyanyian pada 5 Mac lalu.

Dia juga berkata telah memberi penjelasan terperinci tentang perkara itu melalui video selama sejam yang dimuat naik di Youtube.