Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Polis tahan bekas gitaris kumpulan rock
Diterbitkan:  Mar 14, 2018 11:44 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Kematian seorang wanita warga emas dalam kes samun dan bunuh di Alor Setar, Kedah pada 25 Feb lalu dipercayai dilakukan bekas anggota kumpulan rock terkenal suatu masa dulu.

Laporan media menyebut suspek berusia 44 tahun dan berasal dari Johor.

Dia dilaporkan pernah menganggotai kumpulan rock yang memenangi pertandingan pada 1988, mencatat populariti dan pernah menerbitkan satu album dengan jualan lebih 150,000 unit.

Antara pencapaian terbaik kumpulan itu lapor Harian Metro ialah layak ke peringkat akhir Anugerah Juara lagu 1990 dan tersenarai sebagai satu daripada lima kumpulan terbaik bagi kategori penyanyi berkumpulan.

Bagaimanapun, perjalanan karier kumpulan berkenaan tidak berpanjangan selepas album berkenaan diterbitkan pada 2004.

Sementara itu Harian Metro juga melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah SAC Mior Farid Al Athrash Wahid berkata suspek direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Baca Ada apa dalam kepala pembunuh Lennon?


Perintah tahanan reman hingga 19 Mac dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Alor Setar Nor Azah Idris bagi membantu siasatan.

Kes yang disiasat polis itu melihatkan kematian Kau Fu Eng, 71, yang mayatnya ditemui dengan kesan jerutan di Taman Golf, Alor Setar.

Suspek pula ditahan di Kuala Lumpur pada 28 Feb.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dipetik sebagai berkata siasatan setakat ini mendapati motif pembunuhan menjurus kepada cubaan pecah rumah yang kemudian melarat kepada keganasan apabila suspek mendapati mangsa ada di premis ketika itu.

Polis juga mendapati suspek mempunyai 17 rekod jenayah membabitkan kes dadah dan pecah rumah.

Lihat Komen
ADS