Aliff minta maaf pada MBPJ
Bukan kerana ingin meraih keuntungan, sebaliknya kerana tidak sampai hati melihat pelanggan terdiri daripada wanita hamil dan warga emas berbaris panjang menunggu giliran membuatkan Datuk Seri Aliff Syukri menambah meja di laluan berhadapan premisnya.
Kata jutawan kosmetik yang kini bergelar selebriti itu jika diikutkan perniagaan yang dibuka tidaklah mencatat keuntungan sebesar mana pun, malah harga jualan makanan juga ditawarkan serendah RM7.
Keadaan itu katanya membuatkan pelanggan berpusu-pusu untuk merasai masakan yang ada antaranya hasil air tangan Aliff sendiri.
Katanya sewaktu ramai pelanggan beratur itu jugalah restoran miliknya diserbu pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Alhamdulillah sejak Januari lalu restoran saya menerima sambutan memberangsangkan sejak ia dibuka kepada orang ramai.
“Sebanyak dua lot dibuka dan kedua-duanya boleh memuatkan kapasiti hingga 100 meja tetapi ia masih tidak boleh menampung pelanggan yang membanjiri restoran saya.
Sudah bayar denda
“Semasa serbuan dijalankan, ia adalah waktu puncak untuk menikmati juadah makan malam, disebabkan terlalu ramai saya mengarahkan pengurus resotran untuk tambah kerusi dan meja di luar kerana tidak mahu pelanggan berdiri terlalu lama,” katanya.
Aliff ditemui semasa majlis pelancaran siri vlog berkonsepkan rakaman realiti Nur Sajat Rated Xtra di Bukit Jalil semalam.
Sajat turut melancarkan single baru berjudul Makhluk Penggoda yang turut menampilkan Aliff sebagai penyanyi undangan.

Pada 14 Mac lalu, restoran Aliff di Kota Damansara diserbu penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana meletakkan peralatan premis yang menghalang laluan.
Walaupun kecewa, namun Aliff mengakui kesilapan berpunca dari dirinya dan berpendapat sudah adat berniaga seseorang peniaga akan menanggung kerugian.
“Saya sudah membayar denda dikenakan dan meminta maaf di atas kesilapan yang dilakukan kepada MBPJ,” katanya.

