Kesempitan hidup memaksa Uji Rashid berpindah tempat kediaman puluhan kali sejak 1990an dan terbaru diarah keluar daripada rumah sewanya.
Meskipun menghadapi kesulitan, seniwati yang mencipta kemasyuran sekitar 1970an itu tidak pernah kesal atau menyalahkan takdir.
Sebaliknya, Uji atau nama sebenarya Fuziah Haroun Al- Rashid sentiasa berusaha mengubah masa depannya ke arah yang lebih baik.
Ketika air mata sudah kering mengenangkan nasib, Uji kini mampu mengukir senyuman dengan pemberian unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) oleh pihak berkuasa.
"Allah mendengar doa saya. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang membantu saya mendapatkan rumah PPR.
“Alhamdulillah ada tempat untuk berlindung dan saya tidak perlu bimbang pada setiap bulan untuk memikirkan sewa rumah yang perlu dibayar,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Nasib menimpa Uji yang terlewat melunaskan sewa bulanan hingga diarah keluar dari rumah itu mendapat perhatian Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.
Noh memuat naik gambarnya bersama Uji, anaknya Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin atau Cico serta cucu penyanyi itu di laman Facebook dan ia menjadi tular sejak dua hari lalu.
Dalam catatannya itu Noh (gambar) berkata, Uji Rashid telah datang ke pejabatnya berhubung permohonan untuk mendapatkan rumah PPR.

“Beliau (Uji Rashid) ada memohon rumah PPR sebelum ini dan saya diberi maklum beliau akan diusir dari rumah sewa di Ampang dalam masa terdekat atas sebab yang sangat menyedihkan.
“Memandangkan permohonan menepati syarat, saya beri kelulusan khas untuk beliau dan keluarga dapat mendiami PPR dengan segera. Semoga bantuan ini dapat meringankan beban dan memberi sinar baru dalam kehidupan Uji Rashid sekeluarga,” katanya.
Borang permohonan Uji diterima dan diserah sendiri oleh Noh.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Semakin Hari Semakin Sayang itu pemberian rumah PPR dengan bayaran bulanan yang rendah cukup bermakna memandangkan selama ini dia dan anaknya melalui kehidupan sederhana.
“Ini rumah mampu milik dan saya sangat-sangat beruntung dan bersyukur kerana dapat memilikinya. Saya tak mampu nak beli rumah besar atau banglo mewah,” katanya penuh jujur.
Dalam pada itu, Uji meluahkan perasaan terkilan apabila segelintir pihak tidak pernah cuba memahami bagaimana dia berjuang meneruskan kehidupan.
Katanya, golongan artis sepertinya sering dipersalahkan dan dibidas dengan pelbagai tuduhan terutama apabila mereka melalui saat sukar.
“Saya tidak mengharapkan apa-apa simpati, sebaliknya, saya sangat gembira jika orang ramai cuba meletakkan diri mereka ke tempat saya.
“Orang ramai tidak tahu bagaimana susah payah saya berusaha mencari rezeki, tetapi tidak selalu nasib menyebelahi saya.
“Namun begitu, saya tidak pernah rasa kesal kerana saya sentiasa percaya pada kebesaran Allah. Mungkin ada sebab kenapa saya tidak diberi kekayaan seperti orang lain,” katanya.
