Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Opick hilang isteri secara mengejut
Diterbitkan:  Mar 19, 2018 3:58 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Kabar duka menghimpit penyanyi yang popular dengan lagu-lagu ketuhanan, Opick apabila isteri keduanya, Wulan Mayasari Hanis Sudiyono, meninggal dunia malam tadi selepas melahirkan anak pertama.

Media melaporkan, perkara itu disahkan oleh rakan Opick, Sholeh Mahmoed atau Solmed.

“Ia benar (Wulan meninggal). Saya menerima maklumat bersama imej melalui aplikasi WhatsApp. Opick juga berada dalam gambar yang dihantar. Kami menyertai WhatsApp Group,” katanya.

Kata Solmed, Wulan menghembuskan nafas terakhir selepas bersalin kira-kira pukul 9 malam.

“Arwah meninggal selepas melahirkan. Pada pukul 9 malam, ia selepas melahirkan. Apakah ada kelewatan selama beberapa hari atau sewaktu melahirkan itu kami belum tahu.

“Saya juga belum pasti sama ada proses melahirkan dilakukan dengan pembedahan atau normal," katanya.

Opick, nama yang tidak asing di kalangan pencinta muzik terkenal melalui karyanya seperti Rapuh, Dealova dan Bila Waktu Tlah Berakhir bukan asing dalam kalangan pencipta muzik di negara ini.

Tak tinggal sebumbung

Media melaporkan, jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Budi Mulya, Semper, Tanjung Priok, Jakarta Utara.

Sementara itu, pada imej yang beredar di media sosial, Opick dilihat berdoa di samping jenazah yang ditutup kain.

Gambar yang lain menunjukkan Opick memegang dahi Wulan yang terbaring ketika di rumah sakit.

Wulan sering sakit selepas mengalami keguguran dua bulan lalu. Kandungannya ketika itu sudah berusia lapan bulan.

Sejak keguguran Wulan sering berulang-alik ke rumah sakit.

Terdahulu spekulasi perceraian Opick dengan isteri pertama menjadi bualan ramai apabila Dian Rositaningrum Suratno dilaporkan meminta cerai dari suaminya selepas 15 tahun mendirikan rumah tangga.

Alasan Dian, Opick berpoligami dengan janda yang juga menjadi penyanyi suara latar mengiringi persembahannya (Wulan).

Dian mendaftarkan perceraian terhadap Opick di Mahkamah Agamar Jakarta, Timur pada 5 Feb lalu dan prosidingnya diadakan 5 Mac lalu.

Meskipun kes mereka baru menjalani sebutan mahkamah, Opick dan Dian secara agama sudah bercerai selama setahun. Selama setahun itu juga kedua-duanya tidak tinggal sebumbung.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS