Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Raja Ilya lupakan hasrat berlakon filem Marvel
Diterbitkan:  Mar 20, 2018 3:52 PM
Dikemaskini: 8:17 AM

Buat ramai yang ternanti-nanti kemunculan Raja Ilya dalam filem Marvel terbitan Hollywood, mereka terpaksa melupakan hasrat itu kerana aktres jelita berkenaan membuat keputusan untuk tidak meneruskan sesi pemilihan pelakon.

Kata Raja Ilya, dia mengambil keputusan untuk mengundur diri selepas mendapati beberapa syarat ditetapkan studio penerbitan berkenaan tidak bersesuaian dengan dirinya.

“Saya terima dengan hati terbuka biarpun terpaksa melepaskan perkara besar. Ini kerana saya fikir tidak sesuai dengan kita. Saya tidak boleh ulas panjang tapi saya percaya semua pihak faham.

“Orang boleh buat apa juga andaian tapi keputusan ini diambil demi kebaikan saya dan masa depan kerjaya,” katanya seperti dilapor BH Online.

Pemilik nama sebenar Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 32, itu sebelum ini berjaya mencuri perhatian ramai apabila dikatakan sanggup melakukan perubahan pada diri dengan menjalani prosedur pembedahan demi menjayakan naskhah Hollywood pertamanya itu.

Raja Ilya malah mengaku pernah didatangi syarikat yang sudi menghulurkan tajaan dalam bab untuk memperkemaskan tubuhnya.

Bagaimanapun, sehari selepas menjadi tular, pelakon drama Tuan Anas Mikael itu kemudian tampil memberi penjelasan bahawa prosedur yang akan dijalankan cuma membuang ketulan pada badan yang dihidapi sejak 2016.

Tidak cukup dengan itu, nama wanita berdarah kacukan Melayu, Arab dan Malayalam itu kembali hangat selepas ada pihak mendakwa dia sanggup berbohong demi meraih publisiti murah dengan mengaku bakal berlakon naskhah Hollywood pertamanya itu.

Ini kerana, tiada sebarang hebahan dari negara luar disamping Raja Ilya sendiri mengambil pendekatan mengunci mulut mengenai sebarang maklumat lanjut mengenai filem berkenaan.

Namun, pelakon yang namanya mula dikenali melalui filem Appalam itu tidak terjejas dengan dakwaan terbabit.

Dua minggu di Amerika Syarikat

Sebaliknya anak bongsu daripada empat beradik itu berkata kata-kata negatif wujud disebabkan dia bukan seorang yang berpengaruh selain tidak mempunyai jumlah pengikut yang ramai.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai filem adiwira berkenaan, Raja Ilya berkata dia ‘terbang’ ke Hollywood awal bulan lalu bagi memulakan misi mencuba nasib membintangi filem yang bakal diterbitkan studio terkenal itu.

Katanya, dia berada di Amerika Syarikat  selama dua minggu selepas membuat persiapan rapi kira-kira tiga bulan. Antara usaha diambil pelakon tinggi lampai itu termasuk mendapatkan bentuk badan ideal bagi disesuaikan dengan watak diidamkan.

Tetapi tuah masih berpihak kepada Raja Ilya, selepas tolak yang satu, beliau mendapat tawaran baru daripada sebuah syarikat produksi lain di negara Uncle Sam itu.

“Saya sangat teruja untuk berkongsi... Tetapi saya sudah tandatangan perjanjian rahsia dan diminta 'mengunci' mulut.

“Saya minta semua peminat mendoakan yang terbaik. Saya berjanji apabila sampai masanya, saya akan beritahu dengan lebih lanjut,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS