Berikutan gambar wajah anak Datuk Seri Siti Nurhaliza yang diedarkan tanpa kebenaran menjadi tular sejak malam semalam, seorang jurusolek sambilan bersedia bertemu penyanyi itu untuk menjelaskan perkara sebenar.

Menurut Wan Noor Akmal Wan Yusof, 36, asalnya dia menerima gambar dan video berkenaan daripada rakan menerusi aplikasi WhatsApp sebelum memuat naik di Facebook.

"Saya minta maaf dan sedia berjumpa pihak Siti untuk menjelaskan perkara sebenar," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Menurut Wan, dia tidak menyangka disebabkan perbuatannya itu, keadaan memburuk dan mengundang perasaan marah banyak pihak selepas imej berkenaan dikongsikan.

“Saya hanya berniat nak berkongsi kegembiraan. Pada awalnya, ramai yang mengucapkan tahniah. Namun, apabila seorang komen dan minta memadam status berkenaan, ramai turut komen sama. Malah, mereka mula mengecam saya.

“Ketika perkara itu kecoh, saya berada di luar. Sejurus tiba di rumah, saya perasan banyak notifikasi masuk. Baru saya sedar status berkenaan mengundang amarah banyak pihak.

"Saya terkejut dan tidak menjangka perkara itu tular. Akhirnya, saya mengambil keputusan memadam dan mennyahaktifkan akaun Facebook buat sementara waktu," katanya.

Pada masa sama, pengguna akaun Wann Arianna itu juga mengaku langsung tidak tahu-menahu kenyataan Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa yang berniat untuk berkongsi wajah anak hanya selepas hari ketujuh.

"Sekali lagi saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan tidak sengaja untuk menyakiti hati pihak Siti.

"Kalau daripada awal saya tahu mengenai kenyataan yang mereka belum bersedia berkongsi wajah anak, saya takkan buat perkara ini. Saya akui dan sedar kesilapan saya," katanya.

Selepas beberapa jam status itu dimuat naik, Wan membuat keputusan untuk memadam gambar berkenaan bagi mengelak perkara lebih tidak diingini.

Siti dan Khalid menimang bayi perempuan yang diberi panggilan sementara Fatimah Az-Zahra seberat 3.55 kilogram di sebuah pusat perubatan di ibu negara semalam.