Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Tuah bagaikan menyebelahi penyanyi Ryan Deedat apabila single terbarunya ‘Salimah’ bukan sahaja melonjakkan namanya di persada seni tempatan, malah menarik minat syarikat label Sony Music berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat, untuk menerbitkan semula lagu itu dalam bahasa Latin.

Pemilik nama sebenar Sheikh Eamir Deedat, 26, berkata segala-galanya bermula apabila komposer lagu Salimah, Adam Armin yang bekerja di syarikat gergasi berkenaan menunjukkan lagunya kepada pihak pengurusan syarikat tersebut.

Ryan berkata apa yang mengejutkan beliau, mereka menunjukkan minat terhadap lagunya.

“Biarpun semuanya masih di peringkat awal perancangan, namun saya dimaklumkan mereka mahu mengubah irama Salimah menjadi melodi Latin, malah saya akan menyanyikannya dalam bahasa Latin.

“Lebih mengujakan, untuk versi Latin ini, saya juga difahamkan bakal berduet bersama penyanyi terkenal dari Amerika Syarikat,” katanya kepada Bernama.

Tambah Ryan, pihak syarikat rakaman bercadang memasarkan lagu Salimah di dalam versi Latin ke Mexico, sebelum diketengahkan ke seluruh Amerika Latin seterusnya menyusun perancangan lain untuk menjengah pasaran Amerika Syarikat dan dunia.

Mengakui ‘Salimah’ bagai satu tuah buatnya, Ryan berkata ia memberi semangat kepadanya untuk menghasilkan sekuel dan ‘prequel’ lagu itu yang bakal menemui peminat tidak lama lagi.

Lagu Salimah yang berentak irama pop moden dengan diselitkan elemen tradisi dan elektro itu berkisar kepada kisah seorang wanita yang sedang hangat dilamun cinta, namun mendakwa pasangannya berlaku curang dalam hubungan mereka.

Muzik video lagu berkenaan yang dimuat naik di You Tube awal Februari lalu turut mendapat sambutan baik dengan mencatat lebih 40,000 tontonan sehingga hari ini. -Bernama

Lihat Komen
ADS