Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lelaki China tipu peserta ratu cantik
Diterbitkan:  Mar 22, 2018 12:26 PM
Dikemaskini: 4:47 AM

Tujuh peserta dan seorang perancang program mengalami kerugian kira-kira RM60,000 selepas ditipu seorang lelaki warga China dalam satu pertandingan ratu cantik tahun lalu.

Lelaki terbabit memperdaya mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai pemegang saham bagi pertandingan ratu cantik yang popular di Hong Kong.

Perancang program, Eva Khoo, 41, berkata dia mengenali suspek melalui seorang rakan dan berbincang untuk mengadakan pertandingan Miss Asian Pageant 2017, membabitkan penyertaan dari beberapa negara Asia lain

“Suspek datang dan berjumpa dengan saya mahu mencari wakil di Malaysia bagi menyertai pertandingan itu,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Katanya, selepas acara tamat pada 3 Disember tahun lalu, peserta tidak memperoleh kira-kira RM30,000 hadiah tunai seperti dijanjikan.

“Manakala kami sebagai penganjur mengalami kerugian sebanyak RM30,000 bagi melaksanakan majlis terbabit,” katanya.

Eva berkata demikian dalam satu sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, Wisma MCA semalam.

Dia turut memaklumkan ada cuba menghubungi suspek, namun sejak 6 Mac lalu, nombor telefon digunakan lelaki itu sudah tidak berfungsi.

“Bermula dari situ kami mengesyaki suspek sudah menipu dan mahu melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, pemenang tempat pertama Liow Shin Ni, 41, berkata suspek memberitahu akan menghantar tiga pemenang utama ke Shen Zeng, China bagi mewakili Malaysia di peringkat akhir.

“Saya dan seorang rakan terpaksa membeli tiket menggunakan wang sendiri untuk mewakili Malaysia.

“Sepatutnya tiket itu ditanggung oleh suspek kerana dia sudah berjanji akan membawa kami ke sana,” katanya.

Shin Ni berkata, suspek juga sepatutnya membuat bayaran hadiah RM12,000 kepadanya namun hingga kini gagal berbuat demikian.

Selain itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong menasihatkan orang awam yang ingin menyertai pertandingan supaya melihat dulu syarat yang dikenakan.

“Hali ini kerana pihak kami sudah menerima lima laporan yang membabitkan isu penipuan berhubung pertandingan ratu cantik ini.

“Peserta diingatkan supaya memahami dan tahu isi kandungan perjanjian bagi mengelak daripada ditipu,” katanya.

Lihat Komen
ADS