Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ude gesa Intan henti berdrama air mata
Diterbitkan:  Mar 22, 2018 1:26 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

Setelah sah bercerai talak satu dengan Intan Liana Salleh, pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, 30 tampil menepis segala dakwaan dan kenyataan dikeluarkan bekas isteri pertamanya itu pada 28 Februari lalu.

Menurutnya, segala kata-kata yang diluahkan Intan, 33 adalah pembohongan semata-mata bagi tujuan meraih simpati ramai.

“Dia cakap tidak tahu salah kenapa ingin diceraikan dan kami tidak pernah berbincang masalah ini. Sedangkan dia tahu masalah dalam rumah tangga kami sudah berlarutan sejak dua tahun lalu.

“Saya selalu berbincang cara baik dan kalau boleh tidak mahu masalah ini diperbesarkan. Kenapa dia tidak bercakap kebenaran ini? Jadi saya agak terkilan kenapa dia mengeluarkan kenyataan ini. Tindakannya itu secara tidak langsung membuka aib saya.

“Orang mula berpandangan negatif terhadap saya sehingga ramai beranggapan saya bapa tidak bertanggungjawab dan banyak lagi. Jadi, kepada Intan berhenti drama air mata,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Ude sah bercerai talak satu dengan isteri pertama Intan Liana Saleh pada 9.50 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak, hari ini.

Ude melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkannya Januari lalu.

Permohonan cerai difailkan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Menurut Ude, bahtera rumah tangga dilalui dengan Intan sudah dihimpit masalah sebelum dia mula berkenalan dengan Izreen.

Penjelasan Ude itu sekali gus menafikan dakwaan umum bahawa Izreen yang menjadi punca kepada keretakan mahligai perkahwinan dibina hingga mereka bercerai talak satu.

“Saya tidak mahu bercerita apa masalah kami sejak dua tahun lalu. Ia terlalu peribadi buat saya. Kalau dia nak bercerita, ia terpulang. Apa yang penting saya tidak akan bercakap apa-apa.

“Banyak kali saya ajak berbincang, tetapi semuanya gagal. Pun begitu, jika ada yang tetap beranggapan saya sebaliknya, terpulang kepada mereka kerana mereka tidak tahu apa masalah sebenar. Takkan saya nak cerita semua hal dalam rumah tangga kami.

“Jadi saya berharap netizen perlu berlaku adil dengan tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya atas diri saya,” katanya.

Dalam pada itu, Ude turut diajukan persoalan mengenai perkahwinannya dengan Izreen yang dirahsiakan daripada pengetahuan umum pada 8 Ogos lalu.

Katanya, dia mempunyai alasan tersendiri kerana lebih mengenali sikap sebenar Intan.

Menurut Ude, dia juga menarik balik permohonan cerai kali pertama pada November lalu kerana Intan sedia untuk berbincang masalah mereka.

“Malangnya, Intan tidak memberikan kerjasama atas apa yang dipersetujui. Sebaliknya setiap kenyataan dikeluarkan mengeruhkan lagi keadaan. Banyak kenyataan diputar belit,” katanya.

Terdahulu, Intan pernah mengaku dia tidak tahu-menahu di mana silapnya kepada Ude tetapi bersedia atau tidak, dia terpaksa akur dengan keputusan cerai yang akan dibuat.

Malah katanya sebelum ini, mereka tidak pernah berbincang apa-apa mengenai hal rumah tangga selain bertemu atas urusan anak-anak.

Lihat Komen
ADS