Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sesuai dengan semangat mahu berhijrah, penyanyi Awi Rafael mengambil jalan sangat berhati-hati semasa kali pertama bertemu janji dengan calon suri hati.

Justeru, semasa keluar dengan pelakon Atikah Suhaimie, mereka tidak berdua saja. Awi membawa ibu bersama.

Untuk makluman, walaupun lapan tahun sudah perkenalan, hubungan Awi dan Atikah, 27, hanya mula serius sejak lima bulan lalu.

Sepanjang tempoh itu pula mereka hanya keluar berpacaran sekali saja sebelum mengikat tali pertunangan 17 Mac lalu.

Awi yang menyifatkan 2018 sebagai tahun hijrahnya mengakui dia sudah bersedia untuk melalui proses transformasi sama ada berbentuk peribadi mahupun dari segi muzik.

“Saya mahu berhijrah ke arah lebih baik. Sampai bila hendak rock & roll (bersuka-ria)?

“Saya rasa amat bertuah diberi peluang berjumpa Atikah dan dia pula sudi menerima kehadiran saya dalam hidupnya.

“Kami berdua juga berazam untuk berubah menjadi orang yang lebih positif,” katanya yang merancang untuk meneruskan perkahwinan 15 Mac tahun depan jika jodohnya menjadi kenyataan.

Awie atau nama sebenarnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael, 31, ditemui pada sidang media pengumuman Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2) di Kuala Lumpur semalam.

Nama Awi tercalon menyertai 10 lagi peserta GGV2 dalam program itu yang dijadual dipancarkan selama tujuh minggu melalui saluran Astro Oasis bermula 31 Mac depan.

GGV2 permulaan Hijrah

Penyanyi lagu Manusia Sempurna itu bakal berentap untuk gelaran juara dengan kumpulan Brothers, Devotees, InTeam, Mestica, Rabithah, Heliza & Hazwani (pasangan duo), Adeep Nahar, Farah Asyikin, Fitri Haris dan Ippo Hafiz.

Penyertaan Awi dalam program yang menerapkan dendangan berunsur Islamik dalam persembahan ternyata memberi suatu kejutan kerana dia biasanya mempopularkan genre muzik seperti pop dan balada.

Menyifatkan penyertaan dalam GGV2 sebagai satu daripada langkah permulaan dalam berhijrah, Awi berkata dia ingin berterusan menghasilkan karya-karya berunsur ketuhanan untuk masa depan.

Selain itu, kata Awi dia selesa menerima tawaran menyertai program berkenaan kerana mahu mewakili golongan lebih muda untuk menyampaikan lagu berunsur Islamik versi moden.

“Saya sangat positif selepas lagu Manusia Sempurna diterima baik dan ramai peminat minta buat lebih banyak lagu seperti ini.

“Kita semakin berusia, hendak juga tunjuk kepada yang lain kalau seorang Awi boleh belajar agama, mengapa mereka tidak. Harap ramai lagi yang boleh turut serta.

“Ini inisiatif baru. Insya-Allah mungkin tahun ini saya boleh memperbaharui diri dan muzik melalui GGV2”, katanya.

 

Lihat Komen
ADS