Siti Aafiyah Mohd Khalid - itulah nama anak Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan suami Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.
Nama itu diumumkan dalam satu acara khas malam ini yang turut disiarkan secara langsung di Youtube.
Ia menamatkan penantian selama seminggu ribuan peminat penyanyi nombor satu negara itu.
"Ini adalah anugerah paling indah dalam hidup saya," kata Siti sebaik mengumumkan nama itu.
Pasangan itu sebelum ini memberikan nama sementara Fatimah Az Zahra kepada anak mereka.
Siti, 39, berkata mendapat ilham untuk memberikan nama Siti Aafiyah ketika masih mengandung dan mengerjakan haji bersama suaminya tahun lalu.
Ketika di sana, katanya, Khalid sering membaca doa pendek yang mengandungi perkataan itu.
"Selepas itu, kemaskini (aplikasi) doa dalam telefon juga ada menyebut 'Aafiyah'. Itulah yang menjadi pencetus nama anak kami - Siti Aafiyah binti Khalid Mohamad Jiwa," katanya lagi.
Majlis itu turut disertakan acara aqiqah, tahnik dan cukur rambut yang disempurnakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Dzulkifli Mohamad Al-Bakri.
Beberapa jam sebelumnya, Siti juga buat kali pertama berkongsi wajah anak perempuan sulungnya itu di Instagram.
"Saya dan suami ingin memperkenalkan anakanda kami kepada semua yang menanti-nantikan detik ini.
"Inilah penyejuk hati, anugerah ilahi, anakanda yang melengkapkan kehidupan kami," kata Siti mengiringi gambar anaknya itu.
Siti selamat melahirkan Siti Aafiyah secara pembedahan pada pagi 19 Mac lalu di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.
