Kembali ke pentas dengan misi baru
Pernah ligat di atas pentas satu ketika dulu, penyanyi Farah Asyikin kembali selepas lapan tahun tidak aktif membuat persembahan.
Namun kini Farah kembali dengan misi berbeza iaitu memperjuangkan dakwah kreatif.
Walaupun mengaku benar-benar kekok, Farah yang mengubah penampilan dengan berhijab enam tahun lalu itu berkata dia akhirnya sudi menerima tawaran menjadi seorang daripada peserta Gema Gegar Vaganza Musim Kedua (GGV2).
Kata Farah, alasan membuatkan dia terbuka hati untuk menjayakan GGV2 adalah kerana program berkenaan menggunakan pendekatan yang mengetengahkan dendangan berunsur Islamik.
“Sudah bertahun tak buat persembahan macam ini. Saya berhijrah 12 Feb 2012, saya terus hilang sejak itu sampai lah muncul kembali tahun ini.
“Apabila dimaklumkan mengenai Gema Gegar Vaganza Musim Kedua, saya pula sudah memakai hijab dan sering memberi penekanan di media sosial tentang berhijab.
“Justeru, apabila berpeluang menyertai Gema Gegar Vaganza Musim Kedua saya pun terima asalkan ia tidak bertentangan dengan apa saya buat. Inilah peluang untuk saya berdakwah dan belajar,” katanya.
'Budak tak cukup kain'
Nama Farah tercalon menyertai 10 lagi peserta GGV2 dalam program yang akan bersiaran secara langsung selama tujuh minggu itu di saluran Astro Oasis.
Dia bakal merebut gelaran juara dengan Brothers, Devotees, InTeam, Mestica, Rabithah, Heliza & Hawzani, Adeep Nahar, Fitri Haris, Awi Rafael dan Ippo Hafiz.
Pemilik nama penuh Farah Asyikin Zulkifli, 38, itu memberitahu kali terakhir dia menghiburkan penonton di atas pentas adalah sewaktu acara kemuncak Festival Filem Malaysia ke-23, pada 2010.

Ketika itu Farah menyanyikan runut bunyi untuk Pisau Cukur yang memerlukan dia membawa perwatakan seperti dalam filem berkenaan.
“Tiada siapa boleh mengagak budak ini dulu pakai baju tak cukup kain tetapi akhirnya boleh berubah jadi macam ini (berhijab).
“Saya sendiri kalau tengok diri yang dulu dengan sekarang macam tidak percaya. Alhamdulillah saya berjaya kekal istiqomah,” kata penyanyi lagu Dari Sini Ke Bintang Bintang itu.
Rakan-rakan usrah
Penyertaan Farah dalam GGV2 turut mendapat persetujuan daripada suami, Raja Iskandar Raja Mukhtaruddin yang juga pada masa sama menitipkan pesanan agar dia tidak melanggar batas-batas agama.
“Suami lah yang beri dorongan dan kata-kata semangat, dia juga berkata tidak salah untuk menyertai mana-mana program selagi saya mengenakan baju longgar, tudung labuh dan tidak akan singkat dan semakin singkat.
“Dia berkata lagi, jika saya boleh menyampaikan mesej dan diberi peluang mengapa tidak teruskan niat itu,” katanya.
Menguatkan lagi hati Farah untuk meneruskan niat bertanding dalam program yang dijadual bermula pada 31 Mac depan adalah kerana percaya dia berada di landasan yang betul.
“Saya juga dapat tahu kebanyakan yang turut serta dalam Gema Gegar Vaganza Musim Kedua ini adalah rakan-rakan usrah. Jadi saya berada dalam persekitaran yang positif.
“Kami semua mempunyai misi yang sama iaitu hendak perjuangkan dakwah kreatif,” katanya.

