Dilahirkan sebagai anak seorang selebriti, Siti Aafiyah dijangka mengikut jejak langkah seperti ibunya Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk menjadi seorang penghibur.

Bagaimanapun, Siti berkata, selagi boleh beliau tidak mahu anak perempuannya yang baru dilahirkan pada 19 Mac lalu itu meniti kehidupan penuh glamor seperti yang dilaluinya.

“Saya tidak mahu mendidik anak menjadi seorang selebriti. Biarlah dia melalui kehidupannya nanti secara normal.

“Tetapi sekiranya ada rezeki seperti itu pada masa akan datang, sudah tentu saya akan berbincang dengan suami terlebih dahulu,” kata Siti pada majlis maulud Nabi, aqiqah dan tahnik bayi sulungnya itu di Bukit Antarabangsa malam tadi.

Malah penyanyi lagu Comel Pipi Merah itu juga meluahkan masih belum sampai waktunya untuk Siti Aafiyah memiliki akaun Instagram seperti sering dibuat untuk anak-anak selebriti lain.

“Saya belum memikirkan untuk membuka Instagram untuk anak. Tetapi memang sejak dia dilahirkan sudah banyak akaun palsu dibuka atas namanya.

“Namun saya begitu yakin peminat tidak akan percaya jika bukan saya yang umumkan sendiri.

“Untuk masa ini, gambar-gambar Siti Aafiyah hanya dimuat naik di Instagram saya mahupun Rozisangdewi,” katanya merujuk kakak ipar dan pengurus peribadinya, Rozi Abdul Razak.

Siti Aafiyah dilahirkan selepas Siti menunggu selama 12 tahun untuk menimang cahaya mata.

Bayi berkenaan dilahirkan dengan berat 3.55 kilogram secara pembedahan pada 8.17 pagi di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

Suami penyanyi Comel Pipi Merah itu, Datuk Seri Khaled Mohamad Jiwa atau lebih dikenali dengan panggilan Datuk K turut menamakan bayi mereka dengan panggilan sementara Fatimah Az-Zahra diambil sempena nama anak Rasulullah S.A.W.

Malam tadi juga Siti mendedahkan beliau mendapat ilham untuk menamakan anaknya dengan nama Siti Aafiyah sewaktu mereka mengerjakan ibadah di Tanah Suci Mekah.

Siti dan Datuk K mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006.