Penyanyi Madah Berhelah kita lebih hati-hati
Sebelum mendedahkan sebarang maklumat berhubung kemelut rumah tangga yang dihadapi, Ziana Zain mengambil pendirian untuk menangani segala masalah dengan berhati-hati.
Kata Ziana, dia perlu berbuat demikian demi menjaga perasaan banyak pihak dan agar tiada hati akan terluka.
Ziana menyifatkan perihal rumah tangganya ketika ini adalah perkara amat sensitif untuk dibincangkan memandangkan ia membabitkan prosiding mahkamah.
“Pihak saya dan dia (suami), masing-masing perlu ruang dan masa untuk berfikir. Saya ada benda yang perlu dibuat, begitu juga dirinya.
“Lagipun, perkara ini sudah di bawa ke mahkamah, jadi ia sangat sensitif. Bagaimanapun, sebelum membuat sebarang keputusan, kami perlu berfikir masak-masak memandangkan ada banyak hati yang perlu dijaga,” katanya.
Memetik laporan BH Online, penyanyi Madah Berhelah memberi kenyataan itu selepas diajukan soalan mengenai kedudukan dia dan suaminya.
Ia berhubung sama ada Ziana dan Armin sudah kembali tinggal sebumbung selepas suaminya itu dibebaskan dengan ikat jamin atas tuduhan mencederakan anak mereka 24 Februari lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Armin, 53, yang bekerja sendiri didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan lebam ke atas seorang anaknya dengan menggunakan rotan
Armin didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Ziana dan Armin bernikah pada Mei 1998 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat zuriat iaitu Muhammad Aiman, 19; Muhammad Ammar, 14; serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.
Ziana turut ditanya dari mana datang keterbukaan dan keberaniannya untuk berdepan umum apabila kisah peribadinya menjadi menjadi buah mulut ramai.
Kakak kepada penyanyi Anuar Zain itu menjelaskan dia berupaya kekal tabah kerana amat menghormati kerjaya seninya.
“Saya perlu kuat kerana ini adalah periuk nasi saya. Tuhan itu maha kaya dan saya percaya setiap perancangannya pasti ada hikmah yang menanti.
“Kita tidak tahu apa yang berlaku di hadapan nanti. Dalam hal ini, saya lebih suka mengikuti apa yang sudah direncanakan untuk kita,” katanya.

