Arca mendiang penyanyi David Bowie yang pertama di dunia ‘dicacatkan’ perosak harta awam selepas 48 jam ia dirasmikan di Aylesbury, England.

Pelaku terbabit menggunakan semburan berwarna hijau untuk menconteng perkataan “RIP DB” (Rest In Peace David Bowie) dan “feed the homeless first” (utamakan gelandangan dulu) pada arca berkenaan.

Arca berkenaan dihasilkan sempena memperingati sebuah kelab di bandar berkenaan iaitu Friars Aylesbury yang menjadi lokasi awal dan kegemaran Bowie mengadakan persembahan sebelum dunia diperkenalkan dengan Ziggy Stardust.

Ziggy Stardust - karakter dicipta Bowie - diinspirasikan daripada seorang pemuzik 1960-an Legendary Stardust Cowboy.

Bowie pernah membuat persembahan selama setahun di bawah pesona Stardust dan pertama kali memperlihatan karakter itu di Aylesbury pada 1972.

Arca Bowie yang direka Andrew Sinclair dibiayai melalui 10,000 paun hasil derma orang ramai menerusi kempen dimulakan promoter muzik David Stopps.

Penyanyi utama Steve Hogarth dari kumpulan rock Britain Marillion yang ditubuhkan di Aylesbury merasmikan arca berkenaan pada 25 Mac lalu.

“Dengan berat hati dan dalam kekecewaan tidak terhingga saya mendengar dalam seseorang telah merosakkan karya hebat Andrew Sinclair.

“Ia amat memalukan. Saya berharap arca berkenaan boleh kembali pulih seperti sedia kala.

“Selain itu, harapan saya arca ini boleh menjadi penyebab utama untuk pelancong melawati Aylesbury pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, dalam sebuah wawancara berlainan, Stopps mendedahkan terdapat kamera keselamatan dipasang pada sekitar lokasi arca berkenaan dipamerkan.

“Terdapat kamera litar tertutup dipasang 24/7, justeru sesiapa saja melakukan kesalahan itu kami akan dapat mengesan mereka,” katanya.

Seorang penduduk memberitahu: “Pembayar cukai yang terpaksa mengeluarkan wang mereka untuk kerja-kerja membersihkan arca berkenaan.”

“Dan ironiknya, pelaku musnah lah sebenarnya menjadi perampas wang yang sepatutnya diberikan kepada orang tidak berumah,” kata penduduk itu lagi.