Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Gara-gara isu kulit tular, Didie Alias tampil beri penjelasan

Pelakon Didie Alias menafikan penggunaan produk kosmetik yang diwakilinya mendatangkan masalah kulit kepada pengguna seperti didakwa seorang bekas penjual barangan berkenaan.

Didie berkata, kenyataan dibuat individu terbabit melalui Facebook mencalarkan imej syarikat bumiputera yang mengusahakan produk DYXY Cosmetics gara-gara ia menjadi tular dengan begitu pantas.

“Saya menyokong 100 peratus usahawan bumiputera seperti ini, justeru isu yang timbul hingga menjadi tular di media sosial menjejaskan reputasi mereka.

“Saya dapati dakwaan individu terbabit tidak benar sama sekali kerana sebagai seorang daripada pengguna tegar produk itu sejak lapan bulan lalu, alhamdulillah kulit saya tak bermasalah langsung,” katanya.

Didie atau nama sebenar Fadzilah Mohd @ Ali, 46, ditemui pada sidang media berkaitan isu itu di Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir, ketua pegawai operasi syarikat itu Shah Hafiz, pengasas produk, Dyana Roslan dan peguam mereka.

Artis serba boleh itu memaklumkan dia mengetahui isu berkenaan menerusi imej tangkap layar yang dikirim kepadanya melalui ejen-ejen produk berkenaan.

Didie yang juga antara seorang daripada stokis produk kosmetik berkenaan turut berasa pelik mengapa dakwaan sedemikian hanya timbul selepas beberapa bulan individu terbabit menggunakannya.

Katanya, dia serta syarikat sudah menghubungi individu berkenaan untuk itu menyelesaikan isu itu secara baik bagaimanapun ia tidak mendatangkan apa-apa hasil.

“Saya dan syarikat sudah cuba, tetapi apa pun tidak dapat dia tidak jawab sebarang panggilan mahupun pesanan ringkas daripada kami.

“Saya sendiri mahu berjumpa dengannya dan minta diberi penjelasan mengenai masalah kulit yang dihadapi,” katanya.

Dalam pada itu, Didie berkata, ada juga isu lain timbul mengenai produk berkenaan iaitu penipuan harga jualan oleh segelintir peniaga dalam talian.

Katanya, dia juga cuba ditipu ketika berlakon untuk menyiasat perkara itu.

“Pengusaha produk itu adalah anak didik saya dalam perniagaan. Disebabkan itu saya mengambil keputusan untuk berlakon bagi mendapatkan kepastian.

“Saya dapati ada agen menipu dengan bermain harga di bawah pasaran dan mengoyakkan kod QR yang terdapat pada produk.

“Mereka meraih keuntungan berlipat ganda dengan mudah dan memberi masalah kepada pengusaha produk," katanya.

Didie menjelaskan pihaknya telah mengenal pasti dan menyenarai hitam nama-nama ejen dan penjual produk yang tidak bertanggung jawab untuk diambil tindakan selanjutnya termasuk akan disaman.

Lihat Komen
ADS