Seperti lagak seorang adiwira, lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Ulat Bulu Man tampil berani mengenakan kostum berwarna hijau dengan matlamat untuk membanteras jenayah.
Dibesarkan dalam keluarga polis, lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Hank itu berkata, pengaruh berkenaan membuatkan dia memiliki kebencian yang amat tinggi terhadap golongan yang melanggar undang-undang.
Segala-galanya bermula apabila 'Ulat Bulu Man' menyaksikan satu kes jenayah ragut membabitkan seorang warga emas ketika dia masih remaja.
Waktu itu, kata Hank, dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menolong mangsa kerana bimbang nyawanya turut terancam.
“Saya benar-benar kesal tidak dapat membantu warga emas yang menjadi mangsa kepada peragut itu walhal sebenarnya memang mengenali perompak terbabit.
“Ketika itu langsung tidak berani untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa kerana khuatir penjenayah itu mengecam wajah saya,” katanya.
Selepas itulah kata Hank, dia berazam untuk membantu mereka yang teraniaya dan seterusnya menjadi 'penyelamat bumi'.
Hank, 23, berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran single Ulat Bulu Man berjudul Puisi Buat Perompak di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berbeza dengan Adiwira lain, Hank berkata dia mempunyai cara tersendiri untuk melawan penjenayah iaitu menerusi dendangan lagu.
“Buat permulaan, saya akan mengeluarkan single Puisi Buat Perompak dahulu sebelum menyusul dengan lagu-lagu lain.
"Hingga kini sudah lima lagu berjaya dirakam. Jika diberi peluang, saya ingin membawa karya menembusi pasaran Indonesia,” katanya.
Puisi Buat Perompak diterbitkan Oja yang juga bertindak selaku komposer.
Sembunyi wajah sebenar
Hank yang juga seorang pengusaha di sebuah pusat karaoke di negeri Pantai Timur berkata dia muncul dengan idea untuk menggunakan kostum bagi menarik minat umum selain menyembunyikan wajah yang sebenar.
“Apabila menutup muka ini barulah saya mula mendapat keyakinan. Dari situ saya tahu boleh teruskan niat murni untuk memerangi penjenayah,” katanya.
Untuk makluman, sebelum muncul dengan karakter Ulat Bulu Man, aksi Hank memakai kostum watak adiwira satu ketika dulu pernah menarik perhatian ramai.
Disebabkan minatnya dari kecil itu, Hank bertindak melakukan pelbagai perkara di luar dugaan. Antaranya membayar zakat dan membantu mangsa banjir dengan memakai pakaian ikon pujaan seperti Spiderman.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai pemilihan karakter ulat bulu yang sering digambarkan sebagai lelaki miang, Hank bagaimanapun berkata dia enggan dilabel begitu.
“Ulat bulu sering dirujuk sebagai sifat lelaki miang, tetapi saya bukan begitu.
"Semua lelaki mempunyai sifat semula jadi miang tetapi ia disembunyikan. Dalam konteks Ulat Bulu Man, ia ditafsirkan sebagai sesuatu maskulin,” katanya.
