Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Hasrat penyanyi Safura Yaacob untuk memberikan kejutan istimewa terhadap ibu tersayang belum kesampaian apabila wanita yang melahirkannya itu dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

Kesihatan ibunya, Nariah Mat Taheri jatuh merudum pada Selasa lalu dan hingga kini masih terlantar di Unit Penjagaan Kritikal (CCU) Hospital Selayang.

Safura, 35, sebenarnya berhajat membawa ibunya yang berusia 75 tahun itu menyaksikan persembahannya bersempena Hari Ibu 1 Mei depan.

Katanya, kali terakhir dia berbuat demikian adalah pada enam tahun lalu.

"Sudah lama benar ibu tak tengok saya menyanyi dan saya juga hampir menempah meja untuknya pada majlis itu. Saya tak beritahu ibu mengenai hal ini walaupun pernah maklumkan kepada adik-beradik yang lain.

"Saya anggap ini adalah sebuah kejutan yang hendak diberikan kepadanya, tetapi dia sudah seminggu berada di hospital,” katanya yang menerima tawaran untuk membuat persembahan sejak setahun lalu.

Safura ditemui pada sidang media pengumuman acara Sepetang Bersama Bonda Ratuku yang diadakan di Kuala Lumpur semalam.

Penyanyi Sedalam Mana Cintamu itu bakal bergandingan dengan dua lagi bintang popular iaitu Liza Hanim dan Fauziah Ahmad Daud yang bertindak sebagai pengacara bagi meraikan ibu-ibu pada 1 Mei depan di Hotel Premiera Kuala Lumpur.

Tiket bagi menyaksikan persembahan mula dibuka pada harga jualan setinggi RM10,000 bagi Pakej Korporat RM5,000 (Pakej Bonda), RM150 (Individu) dan serendah RM80 untuk kanak-kanak.

Untuk rekod, Safura yang juga seorang aktres itu mula menyepi di persada seni tanah air selepas kehilangan anak sulung, Nur Aisyah Mariam - hasil perkongsian hidup dengan aktor Sharonizam Noor - akibat demam berpanjangan.

Selain itu, dia juga menumpukan kehidupannya sebagai seorang suri rumah tangga bagi membesarkan anak-anak yang masih kecil di samping menjalankan perusahaan sendiri.

Doa agar ibu kembali pulih

Berkongsi lanjut mengenai ibunya, Safura berkata, pada awal Nariah dimasukkan ke hospital akibat mengalami batuk teruk yang berterusan. Dia juga mempunyai rekod sebagai pesakit kencing manis.

“Anggota tubuh lain dan kaki ibu membengkak dipercayai akibat paru-paru berair kemudian kami membawanya ke hospital sebelum meletakkan dia dalam zon merah kerana batuk yang semakin kronik.

“Disebabkan keadaan jantungnya juga semakin melemah, doktor terpaksa menidurkannya selain memasang alat bantuan pernafasan,” katanya.

Bagaimanapun, Safura kini mampu menarik nafas lega apabila kesihatan ibunya mulai menunjukkan perkembangan positif.

“Dia boleh membuka mata dan tidak perlu lagi bergantung kepada alat bantuan oksigen. Buat masa ini, saya berdoa agar ibu segera kembali pulih.

“Saya tidak pernah berhenti berharap untuk membawa dia menonton persembahan itu sekiranya kesihatannya mengizinkan. Selagi hayat masih ada, wajarlah seorang anak menghargai jasa insan yang berjasa membesarkan mereka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS