Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sabri Yunus patenkan 'Pok Ya Cong Codei'
Diterbitkan:  Apr 10, 2018 12:34 PM
Dikemaskini: 4:41 AM

Bimbang disalah guna pihak tertentu, pengarah dan pelakon Sabri Yunus mendapatkan Hak Paten bagi melindungi nama karakter popular “Pok Ya Cong Codei”.

Tindakan itu diambil sejak sebulan lalu atas nasihat peguam, selepas mendapati terdapat pihak yang menggunakan nama itu secara meluas bagi mengaut keuntungan.

“Sebaik watak dan telefilem Pok Ya Cong Codei diperkatakan ramai serta tular, saya dimaklumkan banyak pihak yang ambil peluang mempromosikan produk mereka menggunakan nama itu.

“Kalau bisnes kecil dan sekadar menjual topi atau baju T, saya anggap berkongsi rezeki kerana mereka juga membantu promosi. Tetapi, ada syarikat besar yang menggunakan nama itu tanpa mendapatkan persetujuan terlebih dahulu.

“Peguam yang saya kenali menasihatkan saya supaya memohon Hak Paten kerana bimbang ia disalah guna dan tidak mahu nanti saya pula yang dipersalahkan,” katanya.

Memetik BH Online, telefilem Pok Ya Cong Codei menjadi tular selepas ia disiarkan pada Jan lalu.

Nama Pok Ya Cong Codei diperoleh selepas watak utamanya Pok Ya gagal menyebut Hotel Concorde dengan betul. Perkataan tersebut juga menjadi ikutan penonton.

Kisah mencuit hati itu turut dibarisi pelakon seperti Mustapha Kamal, Uqasha Senros dan Fikry Ibrahim.

Ekoran nama yang lucu hingga menjadi popular di media sosial itu, Richworld Tracel & Tours menawarkan Sabri sebagai duta umrah syarikat berkenaan.

Mengulas mengenai tawaran yang diterimanya itu, Sabri memaklumkan dia terbuka hati untuk menjalin kerjasama kerana pakej umrah berkenaan lengkap dengan program khatam al-Quran dan majlis tahlil.

“Sebagai penggiat industri kreatif, selama ini saya tidak terfikir soal bisnes. Sejak Pok Ya tular, ramai yang mengajukan tawaran kepada saya untuk menjadi duta produk.

“Namun, saya tergerak hati untuk bersama Richworld Travel disebabkan mereka menonjolkan Pok Ya, bukan Sabri Yunus,” katanya yang pernah mengerjakan umrah pada tahun 2009.

Lihat Komen
ADS