Dengan jumlah kutipan pembukaan sebanyak AS$50 juta dolar, filem A Quiet Place yang diterbitkan Paramount Pictures mencatat kedudukan di tangga kedua terbaik pada 2018.

Sebahagian besar filem yang ditayangkan pada tahun ini diramalkan mempunyai potensi menjadi blockbuster seperti A Wrinkle in Time, Pacific Rim Uprising dan Ready Player One, namun hingga kini hanya beberapa filem yang berjaya mencapai tahap itu.

Black Panther, yang mendominasi seluruh musim berjaya memperoleh kutipan AS$1.23 bilion di seluruh dunia.

Selepas beberapa siri kegagalan, filem dengan genre thriller seram menjana lebih AS1 bilion tahun lepas di Amerika Utara bagi filem seperti Get Out, Split dan It.

Tetapi bergantung hanya pada elemen thriller seram semata-mata tidak mencukupi. Terdapat tujuh alasan yang memastikan A Quiet Place berada di tempat selamat bagi kemunculan pertamanya di box office.

Memetik the Variety, dari segi kritikan, filem seram supernatural itu memperoleh ulasan memberangsangkan sebanyak 97 peratus di Rotten Tomatoes selain mendapat B+ di CinemaScore.

Pengkritik filem the Variety, Owen Gleiberman antara mereka yang memberi pujian, menyifatkan karya berkenaan antaranya sebagai genre-bending iaitu mempunyai lebih daripada satu elemen genre.

Berbeza dengan filem seram lain, A Quiet Place mengandungi mesej mendalam yang mampu menarik perhatian penonton, termasuk menyerapkan nilai keibubapaan.

Filem berkenaan menggunakan pasangan sebenar sebagai teraju watak utamanya iaitu Krasinki dan isterinya, Emily Blunt.

Walaupun sudah lama berkecimpung dalam industri hiburan, namun ini adalah kali pertama kedua-duanya bekerja bersama-sama di layar perak.

Ini adalah filem ketiga diarahkan Krasinki dan merupakan karya studionya yang paling besar. Krasinki antara segelintir pengarah seperti Ben Affleck yang beralih arah untuk bekerja di belakang tabir.

“Ini umpama meningkatkan portfolionya sebagai pengarah. Dia belum jumpa kedudukannya sebagai aktor dalam The Office. Justeru, amat menarik untuk melihat bagaimana dia berkembang sebagai pengarah. Krasinki mungkin boleh menghasilkan sesuatu yang besar,” kata Bock.

Filem ini mempunyai kelebihan apabila mensasarkan penonton lebih muda. Walaupun A Quiet Place diklasifikasi PG-13 yang lebih menjurus ke arah tema kekeluargaan, faktor ini juga mungkin berjaya menolak anggaran lalu dari AS$30 juta hingga aras AS$50 juta.

Terakhir, A Quiet Place ditayangkan tepat pada waktunya. Dengan jumlah pengeluaran filem yang sedikit pada April dan Mei, jarak tempoh dua bulan bagi sebuah filem untuk menggegarkan pawagam. Tidak hairanlah jika A Quiet Place mencatat bukaan memberangsangkan.