Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bekas suami mahu heret Serina ke penjara
Diterbitkan:  Apr 24, 2018 6:49 PM
Dikemaskini: Apr 25, 2018 3:53 AM

Bekas suami, Gavin Edward O’Luanaigh memfailkan notis tunjuk sebab berhubung pelanggaran persetujuan bersama dan memfailkan permohonan ex parte (sebelah pihak) pada 17 April lalu.

Dalam hujahnya, peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Gavin atau nama Islamnya Salahudin Ghaffar, 41, mendakwa Serina banyak melakukan pelanggaran.

“Serina telah melanggar perintah persetujuan apabila membenarkan anak mereka, Tristan Tareef O’luanaigh, 7 tahun dan Isabella Safiyya O’luanaigh, 6 tahun bermalam sebilik dengan Chef Wan di kediaman bekas bapa mertuanya itu pada 3 Disember lalu.

“Dalam perenggan yang dipersetujui itu juga menyatakan anak-anak tersebut harus tidur bilik berasingan daripada Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Selain itu, Zainul berkata, Serina juga didakwa melanggar perenggan lapan perintah persetujuan bersama yang menghalangnya daripada memburukkan pemohon, Gavin dan anak mereka.

“Serina dalam posting Instagramnya yang bertarikh 19 dan 20 Mac telah memburukkan dan memperlekehkan ahli korporat itu termasuk mendakwa Gavin berkhalwat.

“Serina juga telah mendakwa pemohon dihalang berjumpa Tristan dan Isabella selain anak- anak dilarang menghadiri kelas mengaji sedangkan Gavin telah menyediakannya,” katanya.

Tambahnya, Serina turut membuat perkara sama melalui rancangan hiburan Melodi yang bersiaran secara langsung pada 24 Februari jam 12.30 tengah hari.

“Justeru adalah wajar mahkamah mengeluarkan notis tunjuk sebab dan kenapa notis komital (pemenjaraan) tidak boleh dikenakan terhadap Serina,” katanya.

Hakim Syarie, Salehan Yatim menetapkan 21 Mei depan untuk keputusan.

Terdahulu, perintah persetujuan bersama antara Serina dan Gavin dicapai selepas direkodkan peguam masing-masing pada 27 Julai tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam turut memerintahkan hak penjagaan anak diberikan kepada Gavin pada tarikh berkenaan manakala Serina diberi hak lawatan dan bermalam setiap minggu.

Gavin sah menceraikan Serina di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun melayari bahtera rumah tangga.

Serina berang

Sementara itu, Serina berang apabila mengetahui dirinya bakal berdepan hukuman penjara atas dakwaan melanggar perintah persetujuan bersama terbabit.

Katanya, bekas suaminya, Gavin Edward O’Luanaigh menimbulkan hal yang tidak masuk akal kerana bapanya yang merangkap datuk kepada kedua-dua anaknya itu adalah darah daging yang tidak perlu dipersoalkan.

“Wahh..Hebatnya permainan lebai Gavin, buat tuduhan saya langgar perintah hanya kerana benarkan anak anak tidur sebilik dengan ayah saya?

“Di mana lojiknya seorang atuk tak boleh tidur sebilik dengan cucu-cucu dan mereka masih kecil. Lainlah kalau Isabella tu dah anak dara sunti umur atau sudah belasan tahun.

“Lebih pelik perjanjian tu ikat my father bersama sedangkan papa tak bersetuju apa apa,” katanya di Instagram.

 

Lihat Komen
ADS