Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ito: Kecoh sana-sini macam ada orang takut kalah PRU

Walaupun seorang penyanyi, status itu tidak menghalang Ito Mohd tetap peka dengan apa yang berlaku di negara ini, terutama ketika bahang PRU ke-14 semakin hangat.

Melihat dari luar lingkaran kesibukan ahli politik serta parti masing-masing 'deria' penyanyi kumpulan Blues Gang itu menangkap sesuatu ekoran pelbagai drama yang berlaku pada Sabtu lalu.

“Saya lihat banyak betul insiden semacam tidak patut berlaku, tapi betul-betul berlaku sewaktu hari penamaan calon 28 April lalu.

“Ada yang tidak dapat pusat penamaan calon sebab tak bawa pas, ada yang terkejar-kejar kerana kesuntukan masa, ada yang tak boleh bertanding... macam-macam.

"Mungkin perkara ini timbul ekoran ada pihak tertentu yang takut kalah,” katanya kepada Malaysiakini.

Malaysia akan mengadakan PRU kali ke-14 pada 9 Mei ini.

Terfikir faktor sabotaj

Dalam tempoh lapan hari saja lagi hampir 15 juta pengundi berdaftar akan diberikan ruang menentukan parti mana yang akan mengemudi negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

BN berdepan cabaran hebat apabila empat parti utama pembangkang bergabung membentuk Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengepalai gerakan itu.

Tidak ketinggalan, PAS yang membentuk Gagasan Sejahtera dan begitu yakin memberi pengaruh dalam politik negara.

Bagaimanapun berlaku banyak insiden 'panas' pada hari penamaan calon. Misalnya ada seorang wakil HARAPAN tidak dibenarkan masuk menyerahkan borang pencalonan sehingga menyebabkan wakil BN Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa perlu bersusah-payah bertanding.

Naib Presiden PKR Tian Chua pula digugurkan kelayakannya untuk bertanding oleh pegawai pengurus pilihan raya.

Seorang lagi calon HARAPAN berdepan detik cemas apabila tiba di pusat penamaan calon tanpa membawa kad pengenalan.

"Bawa kad pengenalan ini benda senang saja," kata Ito.

Penyanyi yang pernah mempopularkan lagu Apo Nak Dikato itu berpendapat SPR sepatutnya mempunyai pelan penyelesaian bagi mengelak sebarang kejadian tidak perlu dan memudahkan seseorang calon bertanding.

Pada masa sama Ito juga tidak menolak kemungkinan ada unsur luaran seperti sabotaj turut memainkan peranan.

Namun bagi Ito, dia bukan penyokong tegar mana-mana parti. Pandangan yang diberikan, katanya, hanya sebagai luahan pendapat peribadi.

“Nak cakap macam mana pun susah... tetapi yang saya tahu memang tidak kemas (proses penamaan calon).

"Kita tidak tahu di mana silapnya, apa yang kita maklum hanya perkara yang luaran saja,” kata yang turut mempunyai kemahiran sebagai penggubah lagu.

Lihat Komen
ADS