Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nam Ron tertanya-tanya kenapa nama diketepikan stesen TV

Jika dihitung, sudah hampir lima tahun kelibat pelakon dan pengarah Nam Ron tidak muncul dalam sebarang drama terbitan sebuah stesen televisyen tempatan.

Nam Ron hanya sedar dirinya diketepikan apabila dimaklumkan sebuah produksi bahawa namanya ditolak saluran televisyen berkenaan daripada menjayakan sebuah telefilem untuk Hari Raya Aidilfitri.

Biarpun kecewa, pelakon filem Dukun itu tertanya-tanya apakah alasan digunakan sehingga namanya digugurkan pihak terbabit.

“Kali terakhir adalah lima tahun lalu apabila saya berlakon drama bersiri karya arahan Feroz Kader untuk terbitan stesen berkenaan. Selepas itu terus senyap, tiada sebarang tawaran yang muncul.

“Saya dimaklumkan oleh produksi telefilem bahawa nama ditolak. Patutlah sudah lama saya tidak berlakon drama yang diterbitkan stesen terbabit.

“Saya cuma ingin tahu mengapa saya gagal mendapat tawaran itu. Insya-Allah saya akan terima alasan mereka dengan hati yang terbuka,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dua hari lalu, pemilik nama sebenar Shahili Abdan, 48, itu mendedahkan melalui Twitter namanya tidak dipilih untuk mengisi barisan pelakon bagi menjayakan sebuah telefilem.

Dalam perkongsian itu, Nam Ron berkata, turut menerima nasib sama adalah rakan seperjuangannya dalam industri, Amerul Affendi.

Bagaimanapun, nama Amerul ditolak untuk projek berlainan.

"Kita ada kelas, Merul. Jangan risau. Selamat Hari Pekerja," katanya di Twitter.

Pendedahan tersebut mengundang perhatian pengikut Nam Ron di media sosial.

Kebanyakan mereka meluahkan perasaan kecewa apabila melihat keadaan industri lebih mengutamakan pelakon yang berdiri atas populariti berbanding bakat dimiliki.

Untuk rekod, lakonan Nam Ron pernah diiktiraf melalui beberapa anugerah termasuk Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-17.

Sebab paras rupa?

Dalam memikirkan alasan yang menjadi penyebab namanya tidak melepasi kriteria diperlukan stesen televisyen terbabit, pelbagai andaian mula muncul di kotak fikiran Nam Ron.

“Siapa kenal saya tahulah, memang bukan jenis pelakon yang meletak harga tinggi. Saya tidak rasa isunya adalah faktor rupa paras, tetapi mungkin dari segi penarik penonton. Entahlah,” katanya.

Seorang lagi pelakon dan pengarah Pekin Ibrahim berkata dia juga tidak dapat mengelak daripada diperlakukan sedemikian.

Malah katanya, bukan sekali dia berdepan isu tersebut.

“Saya memang mengehadkan tawaran untuk berlakon drama, tetapi demi kawan-kawan saya terima juga. Namun, mungkin muka kami bukan menjadi pilihan mereka.

“Nak tolak, tolaklah, tiada isu, tetapi bagitahu dulu apa alasan mereka kerana timbul juga kekecewaan jika tidak dapat bekerja dengan kawan-kawan,” katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS