Barisan artis lama dan baru muncul dalam dua buah video klip bagi memupuk kesedaran dan mengajak orang ramai keluar mengundi pada 9 Mei ini.
Video bertajuk Undilah dan Don't Vote itu merupakan inisiatif Warner Music Malaysia, bertepatan seruan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar pihak korporat bersama-sama menyampaikan mesej kepada masyarakat.
“Ini adalah usaha kami untuk memeriahkan suasana pilihan raya selain daripada melaksanakan tanggungjawab sosial kami,” Kata Eksekutif A&R Warner Music Malaysia, Raja Nazreen dalam satu kenyataan.
Video Undilah menampilkan artis baru seperti Andi Bernadee, Dewi Serisestha, Bella Nazari dan Wan Shahjuddin yang merakamkan semula lagu kempen mengundi yang diperkenalkan pada pilihan raya pertama pada tahun 1955.
Menurut Raja Nazreen, lagu berentak boria ciptaan dan dendangan Allahyarham Datuk Zainol Abidin itu diberikan nafas baru oleh generasi masa kini.
"Dengan ini kami berharap ia bukan saja dapat mendedahkan golongan muda terhadap irama klasik berentak boria tetapi semoga ia juga dapat menarik perhatian mereka terhadap mesej yang disampaikan dalam lagu ini,” katanya.
Manakala video #DontVote pula menampilkan barisan artis popular tanah air seperti Marsha Milan, Aizat Amdan, Altimet, Yasin, loQue, Wings, Maya Karin dan Kaka Azraff.
“Sengaja kami menggunakan ‘clickbait’ dan ‘reverse psychology’ agar mesej itu dapat disampaikan terus kepada golongan sasaran kami, iaitu golongan yang tidak mahu atau tidak sedar kepentingan mengundi tetapi mahu justifikasi kenapa mereka tidak perlu mengundi.
“Apabila dibuat sebegitu, harap mereka akan tonton video ini dan terima nasihat yang disampaikan,” ulas Raja Nazreen berkenaan tajuk #DontVote.
Selain itu, Warner Music Malaysia juga menyediakan panduan ringkas dalam bentuk infografik kepada pengundi baru bagi menerangkan proses pilihan raya di kesemua pelantar media sosialnya.
Video kempen Undilah dan #Dontvote boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music Malaysia.
