Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRU14 | Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) Datuk Jurey Latiff Rosli mempertahankan BN apabila menegaskan parti itu memberi perhatian kepada golongan artis di negara ini.

Pengarah itu berkata, komentar dibuat Ito Mohd bahawa tiada mana-mana parti menyentuh golongan yang bertanggungjawab menaikkan sudut industri dan kreatif hiburan negara itu dalam dokumen dikenali sebagai manifesto politik bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak benar sama sekali.

“BN ternyata peka kepada penggiat industri seni berbanding Pakatan Harapan (HARAPAN) yang langsung tidak menyatakan apa-apa janji.

“Saya berharap Ito dapat membaca perkara begini terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan,” katanya kepada Malaysiakini.

Kelmarin Malaysiakini melaporkan Ito sebagai berkata, dia berasa kecewa apabila apabila dalam ikrar setiap parti masing-masing untuk menarik sokongan, perhatian dan simpati pengundi, mereka “lupa” kepada golongan itu.

Menurut Ito manifesto yang baik mempunyai ciri-ciri membangkitkan keinginan rakyat memilih sesebuah parti politik dan wakil rakyat mereka.

“Satu saya nak tegur. Dalam manisfesto mana-mana parti - baik BN atau Pakatan Harapan (HARAPAN) tiada satu pun yang menyebut bab artis.

“Saya tidak tahulah mereka lupa atau pun apa. Sebagai penggiat seni saya juga ingin melihat perkara itu dalam mana-mana kandungan manifesto,” katanya.

Seminggu lagi, pada 9 Mei ini rakyat Malaysia akan keluar mengundi untuk memilih parti pemerintah yang akan membentuk kerajaan.

Justeru, Jurey berharap golongan artis diharap dapat mendapatkan maklumat yang benar sebelum membuat komen supaya tidak memberi sebarang tafsiran negatif.

“Gunakan kelebihan untuk menyampaikan sesuatu kebaikan demi kepentingan penggiat seni.

“Bagi memastikan janji dikotakan, semoga golongan artis seperti Ito dapat membantu kemenangan kerajaan sementara seterusnya menunaikan janji dalam manifesto BN,” katanya.

Lihat Komen
ADS