Keterujaan bertukar menjadi tragedi apabila seorang lelaki meninggal dunia sewaktu menonton filem ditunggu-tunggu ramai, Avengers: Infinity War di Proddatur, daerah Kadapa, India.

Menurut jurucakap polis, lelaki dikenali sebagai Peddapasupula Baasha, 43 -seorang pekerja tapak pembinaan - menghabiskan waktu cuti umum menonton filem berkenaan sempena sambutan Hari Buruh di pawagam.

Memetik Times of India, selepas 2 jam 40 minit tayangan berakhir, Baasha didapati masih duduk di kerusinya.

Pekerja panggung kemudian menyangka Baasha menunggu untuk melihat kredit pada bahagian akhir filem bagaimanapun tubuhnya didapati langsung kaku tidak bergerak-gerak.

Hairan dengan keadaan itu, pekerja terbabit mendekati Baasha lalu menanggalkan kacamata 3D yang dipakainya sebelum terkejut apabila menyedari mangsa sudah meninggal dunia dengan mata terbelalak.

Polis mengesahkan Baasha mati di tempat kejadian akibat mengalami serangan jantung.

Bagaimanapun, mayat Baasha telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.