Peminat tegar yang pernah disabit kesalahan memecah masuk rumah aktres Sandra Bullock Joshua James Corbett tahun lalu, membunuh diri selepas dikepung selama lima jam oleh polis.

Polis mengesahkan mayat lelaki yang ditemui mati di kediamannya di daerah Los Angeles adalah Corbett, 42.

Menurut peguam, Steve Sitkoff, Corbett yang terlepas tarikh mahkamah bulan lalu menghalang polis daripada memasuki rumahnya apabila mereka tiba dengan waran tangkap.

Dia dijadual untuk tampil di mahkamah berhubung kes menghendap pelakon filem Miss Congeniality pada 2014.

Menurut detektif Meghan Aguilar, pasukan khas (SWAT) dipanggil selepas Corbett mengancam untuk membunuh polis.

Sakit mental

Bapa Corbett, Sitkoff dilaporkan berkata anak lelakinya menghidap masalah mental dan keadaannya semakin buruk sejak kebelakangan ini.

“Corbett terlewat untuk hadir bagi laporan kemajuannya tetapi dia tidak mahu pergi ke mahkamah. Situasi ini amat menyedihkan,” kata Sitkoff.

Tahun lalu, Corbett mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghendap dan merompak selepas ditahan di rumah Sandra di Barat Los Angeles.

Dia akhirnya diperintah meneruskan rawatan kesihatan mental dan menghadapi tempoh percubaan.

Selain itu, Corbett turut diarah menjauhkan diri daripada pelakon yang mencipta nama menerusi filem Hangmen itu dan tidak cuba menghubungi wanita itu selama setahun.

Walaupun Sandra tidak pernah hadir ke mahkamah, panggilan cemas yang dibuatnya selama 15 minit ke nombor talian kecemasan 911 sewaktu menyembunyikan diri dalam almari menjadi bukti utama yang menyebabkan hakim memerintahkan Corbet dibicarakan.

Sewaktu dalam tahanan, Corbett menerima penilaian kesihatan mental dan peguam belanya berharap dapat menyelesaikan kes terbabit dengan perjanjian yang memastikan rawatan anak guamnya itu berterusan.

Menghendap beberapa hari

Menurut keterangan mahkamah, Corbett menghendap selama beberapa hari di luar kediaman Sandra sebelum memanjat pagar rumahnya pada 8 Jun 2014.

Dia membunyikan loceng selama beberapa minit sebelum memasuki rumah Sandra melalui sebuah bilik.

Kelibat Corbett disedari Sandra sekilas lalu ketika lelaki terbabit melintasi bilik tidurnya. Selebriti itu kemudian mengunci diri dalam almari sebelum menghubungi polis.

Corbett ditemui tanpa senjata, namun pada masa sama dia memiliki 25 helai kertas yang digunakan bagi melampiaskan obsesinya terhadap Sandra selain merujuk dirinya sebagai suami aktres berkenaan.

Pihak berkuasa kemudian menemui senjata api di rumahnya. Bagaimanapun semua dakwaan pemilikan senjata digugurkan.