Polanski, Bill Cosby dihukum badan seni AS
Akademi Sains dan Seni Perfileman AS (Academy) melucutkan keahlian aktor Bill Cosby dan pengarah filem Roman Polanski susulan kes serangan seksual yang disabitkan ke atas mereka.
Badan yang bertanggungjawab dalam memberikan anugerah Oscar itu berkata keputusan itu dicapai selepas anggota lembaga pengarah Academy mengadakan undian.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan, Academy berkata langkah penyingkiran berkenaan dibuat berdasarkan “piawaian perilaku organisasi” yang diamalkan badan terbabit.
“Lembaga pengarah menggalakkan standard etika yang memerlukan ahli-ahli mendukung nilai Academy untuk kemuliaan manusia,” kata kenyataan itu.
Cosby - selebriti yang begitu dekat di hati penonton AS suatu ketika dulu - didakwa melakukan serangan seksual ke atas berpuluh-puluh wanita.
Seramai 12 juri Pennsylvania mendapati pelawak berusia 80 tahun itu bersalah atas tiga tuduhan menyalahgunakan dadah dan mencabul Andrea Constad di rumah agam Philadelphia pada Januari 2004.
Sabitan itu dibuat pada pada 26 April lalu.
Pelakon The Bill Cosby Show itu berkemungkinan berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun.
Polanski pula - yang kini menetap di Perancis - dikehendaki pihak berkuasa atas jenayah rogol melibatkan gadis berusia 13 tahun pada 1977.
Pengarah filem Rosemary Baby itu sudah bertahun-tahun berusaha menyelesaikan kes terbabit di luar mahkamah dengan AS.
Mangsa Polanksi, Samantha Geimer, yang cuba menamatkan kes berusia 41 tahun ke atas pengarah buruan itu semalam bagaimanapun menolak keputusan Academy malah berpendapat ia sekadar langkah kosmetik.
“Ia langsung tidak mengubah budaya seksis di Hollywood pada hari ini dan membuktikan mereka sanggup melakukan apa saja untuk bertahan.
“Ini semua hanya untuk melepaskan diri, Academy tidak mempunyai kemuliaan yang sejati," katanya.

