Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Wardina, calon DAP kongsi harapan menjelang PRU14
Diterbitkan:  May 4, 2018 9:32 PM
Dikemaskini: 3:02 PM

Kurang lima hari lagi menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), selebriti Wardina Safiyyah meluahkan harapannya untuk melihat wujud kerajaan baru yang dapat menggubal dasar pembangunan pendidikan yang setanding dengan negara luar.

Sebagai ibu kepada tiga anak, bekas pelakon itu melihat betapa mustahaknya sistem pendidikan menjalani proses penambahbaikan.

“Saya ingin melihat dasar pendidikan kebangsaan yang lebih baik. Itu kebimbangan saya sebagai ibu...” katanya.

Wardina berkata demikian dalam satu sesi wawancara bersama calon kerusi parlimen Bangi dari DAP, Dr Ong Kian Ming, secara langsung melalui Instagram petang tadi.

Sesi itu bermula dengan Wardina bertanya beberapa soalan kepada Ong yang menjurus kepada pelbagai isu, antaranya pendidikan, cabaran dan pengalaman sebagai wakil rakyat serta respon komuniti Islam.

Temu bual itu kemudian bertukar menjadi sesi sebaliknya apabila Ong pula mengajukan soalan kepada Wardina.

Soalan Ong ialah: “Apa harapan Wardina untuk anak-anak?”

Fikir sebelum pilih

Melihat kesulitan dialami ibu tunggal pelakon siri komedi Spanar Jaya itu turut meluahkan harapan agar nasib golongan berkenaan mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan baru nanti.

“Saya mahu ibu tunggal dan nasib anak-anak mereka terbela dan terjaga. Selain itu, terdapat juga banyak kes anak didera dan isu ini benar-benar terjadi dalam masyarakat, tetapi orang kita lebih suka fokus pada RUU355, itu saja," katanya merujuk kepada usul persendirian dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Tambah Wardina dia juga mahu melihat sistem sosial yang lebih baik dilaksanakan di negara ini dengan mana-mana wanita mangsa dera atau anak terbiar diziarahi serta dibantu pekerja sosial.

“Ia memang perlukan usaha untuk pastikan semua sistem berkesan,” kata penuntut jurusan psikologi di sebuah universiti di Brisbane, Australia itu.

Sementara itu, Ong berkata beliau meletakkan harapan yang tinggi untuk memenangi kerusi Bangi berdasarkan kajian dilakukannya sebelum ini.

Justeru, bekas pensyarah universiti itu meminta pengundi di Bangi - tanpa mengira bangsa dan agama - untuk membuat penilaian tepat sebelum membuang undi.

Antara aspek perlu dilihat, katanya, ialah rekod pencapaiannya sebagai anggota parlimen Serdang sebelum ini.

“Undilah berdasarkan rekod, bukan agama dan parti semata-mata. Ini semua boleh dilihat dalam blog-blog saya (kerja-kerja pernah dilakukan),” kata penganalisis politik itu.

Ong memberi contoh, sebelum mengadakan perbahasan di Dewan Rakyat beliau akan sedaya-upaya memastikan setiap isu dikemukakan turut disertai dengan fakta.


Baca Wardina malas layan 'puteri baru nak up'


Katanya, ia dibuat dengan harapan kerajaan dapat menjawabnya dengan hujah-hujah bernas.

“Biasa dikatakan, orang politik perlu turun padang, tetapi saya buat lebih, saya sampai turun sungai.

"Ada beberapa kali loji rawatan air terpaksa dihentikan ekoran pencemaran, hal ini ternyata membuat saya amat kecewa.

“Jadi saya buat tinjauan dan masuk ke sungai untuk buat kajian makmal selain mengupah ahli kimia untuk mengambil sampel air dan hantar keputusan itu kepada kerajaan negeri.

“Selepas membuat aduan, pihak berkuasa ambil tindakan dan tiada gangguan lagi sampai ke hari ini. Tetapi kerja itu bukan mudah, perlu ambil sekurang-kurang tiga minggu untuk diuruskan,” katanya.

Lihat Komen
ADS