Kumpulan rock Wings mencabar wanita yang mendakwa hamil anak luar nikah seorang pemuzik supaya menunjukkan bukti jika yakin dirinya berada di pihak yang benar.
Vokalis Datuk Azhar Othman atau Awie berkata, wanita terbabit seolah-olah mempunyai agenda tertentu dengan menyembunyikan wajahnya di sebalik purdah dan mencanangkan kisah yang belum tentu kesahihannya.
Justeru, Awie berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis andai nama seorang daripada anggota mereka dikaitkan bagi mengelak tempias fitnah.
"Tunjukkan bukti kalau anda benar. Dedahkan juga identiti diri. Jangan sorokkan muka di sebalik niqab itu. Dia buat-buat cerita seolah-olah ini zaman jahiliah.
"Kalau gagal merebut cinta pun, jangan musnahkan kerjaya orang. Kami pun boleh buat laporan polis sebab ia tuduhan melampau," katanya seperti dipetik BH Online.

Terdahulu, seorang wanita membuat pendedahan media dengan mendakwa dirinya hamil lima bulan selepas menjalinkan hubungan sulit bersama pemuzik sebuah kumpulan rock.
Kata wanita itu lagi, dia terpaksa membuat pengakuan berikutan lelaki terbabit enggan bertanggungjawab ke atas perbuatannya selepas menabur janji manis untuk menikahi dirinya.
Pun begitu, Awie memberikan janji untuk menggesa individu dimaksudkan agar bertanggungjawab jika terbukti dakwaan itu benar.
"Saya sendiri akan mendesak orang itu (untuk bertanggungjawab) kalau betul ada bukti kukuh.
"Sekiranya benar, kita cuba selesai secara baik. Manusia mana yang tak melakukan kesilapan?" katanya lagi.
