Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Avangers: Tuah remaja kolej nampak di klip video parodi
Diterbitkan:  May 6, 2018 2:47 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

Siapa sangka dengan hanya bermodalkan RM3 untuk menghasilkan parodi Avengers: Infinity War, sekumpulan penuntut Kolej MARA Seremban mendapat 'rezeki terpijak'.

Mereka baru-baru ini dipertemukan dengan salah seorang pengarah filem berkenaan, Joe Russo.

Dalam pertemuan di Singapura itu, Aiman Sany Mohd Ikhsan dan 12 rakannya berpeluang bertanya soalan terus kepada Russo.

Ketika ditanya mengenai klip parodi berkenaan, Russo, 47, mengakui dia benar-benar menyukai produksi remaja terababit.

“Saya rasa ia amat lucu, persembahan anda juga amat hebat dan hasil rakaman begitu memuaskan selain kreatif,” katanya dalam hantaran yang dikongsi di akaun Facebook Marvel Malaysia pada Jumaat lalu.

Syarikat Walt Disney dan Marina Bay Sands menjemput kesemua penuntut kolej berkenaan untuk menghadiri acara karpet merah bagi peminat Avangers yang diadakan di Singapura pada 16 April lalu.

Aiman - individu bertanggung jawab memuat naik parodi di Twitter dan Youtube - mengiringi video itu dengan mesej khusus kepada @MarvelStudios: "Who did it better?" (Siapa yang lebih bagus?) pada 17 Mac lalu.

 

 

Memaparkan petikan suara asal filem, parodi Avengers: Infinity War itu dilakonkan semula dengan menggunakan peralatan kegunaan seharian seperti pinggan, penyepit kain selain bijirin Koko Crunch.

Lokasi penggambaran pula bertempat di sekitar asrama mereka.

Klip itu dijayakan bersama Amir Haziq Rosthman, Ammarul Mubsyir, Umar Muhammad, Anandzachery, Khairi Abu Bakar, Farhan Mirza Basir Ul Elmi, Khafiz Khairul Anwar, Khalis Ariff Mustapha Reza, Mohd Ariff Arshad Zulkifflee, Salman Muhammad Noor Azri, Luqmanul Hakim Azli dan Adam Muqhriz Nor Iskandar Shah.

Sejak dikongsikan di media sosial setaka ini video sepanjang 20 saat itu berjaya meraih hampir 4 juta tontonan dan diulang 114,000 kali selain 171,000 tanda suka.

Video parodi yang disiapkan dalam tempoh lima hari menggunakan telefon bimbit itu mendapat reaksi positif pengguna internet, khususnya peminat filem adaptasi komik Marvel berkenaan.

Ia kemudian mengundang perhatian adik-beradik Anthony dan Joe Russo yang turut terkenal sebagai sutradrara filem berdasarkan komik Marvel seperti Captain America: Winter Soldier dan Captain America: Civil War.

Dalam nada berjenaka, menerusi akaun @Russo_Brothers, seorang daripada pengarah terkemuka itu menulis: “Aiman. Anda semua adalah bijak. Adakah kamu berkelapangan untuk mengarah Avengers 5?”

Dalam pada itu di Singapura, Joe sempat mendedahkan bahawa babak paling mencuit perasaannya ialah sewaktu lakonan ‘Dr Strange’ dibuat semula.

“Pinggan-pinggan itu memang lucu,” katanya.

Lihat Komen
ADS