Menginginkan suatu perubahan, chef selebriti Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan memasang azam dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), iaitu hidup dengan berpaksikan “jalan yang benar.”
Meluahkan rasa kekecewaannya di Instagram, Chef Wan berkata situasi dalam negara menyebabkan beliau berasa tidak gembira.
Bagi Chef Wan, golongan yang tidak terbit kekecewaan di hati mereka itu mungkin mempunyai agenda tersendiri.
“Sekarang jika kamu tanya saya sama ada gembira dengan kerajaan sekarang (kerajaan sementara) sudah tentu saya tidak!
“Gilakah saya sampai satu dunia menceritakan kisah negara kita satu lepas satu, satu kejadian kisah salah guna kuasa dan wang dan anda jangkakan saya untuk berasa gembira?
“Adakah saya bodoh atau sepatutnya menjadi hamba bertanggung jawab yang Allah jadikan saya hari ini,” katanya.
Chef Wan hari ini hadir dalam sebuah kempen anjuran Pakatan Harapan (HARAPAN) yang berlangsung di Ayer Hitam, Johor.
Bagaimanapun, Chef Wan menegaskan kehadirannya itu di atas kapasitinya sebagai seorang tukang masak dalam program dianjurkan malah ia tidak mempunyai sebarang makna politik.
“Saya tidak memilih parti. Sebagai seorang selebriti saya kekal neutral dan siapa yang akan diundi adalah rahsia. Kebetulan minggu ini tiga acara HARAPAN menjemput saya tetapi tidak pula parti yang lain.
“Saya cari makan, nama pun tukang masak justeru saya terima undangan ini, semudah itu,” katanya yang sebelum ini pernah diundang bagi memeriahkan pelbagai program lain.
Status Chef Wan turut diiringi bersama sebuah klip video memaparkan Chef Wan bergambar dengan calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam Liew Chin Tong dan calon Dewan Undangan Negeri Yong Peng, Chew Pek Choo.
Chef Wan menempelak pihak yang menuduhnya menyokong Cina dengan mengapi-apikan sentimen perkauman.
“Saya dituduh bersekongkol dengan pembangkang, mahu pun orang-orang Cina pula? Eh! Malaysia ini hak orang Melayu saja ke?
“Hendak jaga hak Melayu konon, takut Cina ambil negara ini apa hal? Bukan ke yang rosakkan institusi orang Melayu kita hari ini orang Melayu juga? Kenapa salahkan Cina, DAP dan sebagainya.
“Tidak semua orang hari ini sebodoh itu nak telan bulat-bulat semua,” katanya.
