Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Beberapa selebriti menyambut baik keputusan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila secara rasmi Pakatan Harapan (HARAPAN) menewaskan BN yang memerintah negara selama 61 tahun.

Kemenangan itu juga bermakna Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi perdana menteri Malaysia ke-7 selepas upacara mengangkat sumpah.

Bagi meraikan perubahan pertama sejak negara mencapai kemerdekaan dari British pada 1957, golongan artis tidak ketinggalan meluahkan perasaan yang selama ini berbuku di hati mereka melalui media sosial.

Antaranya penyanyi Ifa Raziah yang memuat naik imej mengandungi kata-kata seruan “ayuh kita bersatu” kepada rakyat Malaysia agar berlapang dada untuk menerima suatu perubahan.

“Adakah rakyat Malaysia sudah sedia terima perubahan?Terimalah keputusan dengan tenang, mungkin perubahan ini mempunyai hikmah yang belum pernah kita rasai…,” menurut tulisan pada imej berkenaan.

Luahkan rasa syukur

Pelakon Abby Abadi meluahkan perasaan syukur atas segala usahanya turun padang untuk membantu kempen HARAPAN membuahkan hasil walaupun terpaksa berdepan maki-hamun segelintir pengikut di media sosial.

Namun, Abby tidak menyimpan dendam sebaliknya memaafkan mereka.

“Alhamdulillah. Tidak sia-sia kena maki. Saya maafkan demi Malaysia yang lebih baik. Allahuakhbar,” katanya.

Penyanyi kumpulan Elite, Azza mengalu-alukan kehadiran bekas perdana menteri untuk kembali menyandang jawatan perdana menteri selepas mengalahkan Datuk Seri Najib Razak.

“Selamat kembali Tun M. Sayang Tun @chedetofficial saya anak Malaysia dari zaman Tun bangga dengan pencapaian Tun. Saya bangga lahir zaman Tun. Aku rasa nak teghiakkkk (teriak) sebak satu macam,” katanya.

Kibar bendera PKR

Pelakon Lana Nordin dan suami David Mckienzie mempamerkan kegembiraan dan sokongan yang sama sambil mengibarkan bendera parti pilihan mereka PKR.

“Jangan mudah alpa dengan apa yang pernah beliau sumbangkan buat rakyat dan negara sebelum ini. Tahniah Tun M, kami sayang anda,” katanya.

Pelakon, pengacara dan penyanyi Raja Azura pula menjadi sebahagian daripada selebriti yang turut berkempen untuk HARAPAN.

“Rombongan Tun M PM7 @chedetoffical. Saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada sejarah dengan Tun M. Beliau adalah legenda, pahlawan dan penyelamat kepada semua rakyat Malaysia. Saya sayang negara saya. Allahuakhbar,” katanya.

Turut bergambar bersama Raja Azura adalah penyanyi Caprice.

Juara Gegar Vaganza musim ketiga Azharina Azhar meluahkan perasaan lega apabila ramai rakyat Malaysia menjadikan kemenangan milik HARAPAN.

“Kami rakyat Malaysia sayang kamu Tun Mahathir…bangsa Malaysia sudah bersuara…negarawan kami,” katanya.

Sertai sidang media HARAPAN

Ratu Jazz negara Datuk Sheila Majid dilihat hadir memberi sokongan buat HARAPAN apabila turut bersama-sama menyertai sidang media diadakan di Hotel Sheraton, Petaling Jaya malam tadi

Terdahulu dalam status di Instagram, Sheila memuat naik kata-kata seruan yang mengiringi gambar selepas mengundi semalam bersama dua anaknya, Wan Nur Khaleeda dan Megat Abdul Majid.seperti #pulangkansemulanegarasaya dan #kembalikansemangatrakyatmalaysia

Kemenangan HARAPAN menyaksikan tsunami rakyat Malaysia yang bangkit kerana kecewa dengan pelbagai isu.

Antaranya kos sara hidup yang tinggi dan beban GST yang terpaksa ditanggung.

Lihat Komen
ADS