Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Syed Saddiq mula rimas kena gosip?
Diterbitkan:  May 17, 2018 11:59 AM
Dikemaskini: 4:02 AM

Belum pun mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sudah diuji.

Ujian itu pula berlaku belum pun sempat 10 hari Syed Saddiq Syed Syed Abdul Rahman meraikan kemenangannya di Muar. Malah apa yang dihadapi itu bukan berkaitan politik secara langsung.

Kini dia dibayangi gosip bersama artis tempatan.

Namun Syed Saddiq yang masih bujang dan berusia 25 tahun itu menegaskan penyertaannya dalam politik bukan bertujuan untuk menjadi selebriti.

"Tolonglah fokus kepada tawaran saya kepada anak muda dan pelan pembangunan untuk menjadikan Muar sebagai mutiara Johor," ciapnya di Twitter hari ini.

Baru-baru ini Syed Saddiq menjadi perhatian selepas gambarnya bersama pelakon jelita Emma Maembong dimuat naik di Instagram.

Bagaimanapun menurut Emma, 25, dia memang sudah mengenali Syed Saddiq sejak tiga tahun lalu, iaitu sebelum jejaka terbabit aktif dalam politik.

“Saya dikecam kononnya mahu mengambil kesempatan ke atas Syed Saddiq selepas menjadi anggota parlimen. Anda semua boleh tengok akaun Instagram saya di mana saya sebenarnya sudah lama berkawan dengan beliau.

“Kami mula berkawan apabila saya mengutus mesej kepada Syed Saddiq meminta beliau membuat kejutan pada majlis hari jadi pembantu peribadi saya yang menyukai ketokohannya berdebat. Syed Saddiq dengan rendah hati bersetuju melakukannya. Dari situlah kami mula berkawan," katanya.

Dalam PRU ke-14 minggu lalu Syed Saddiq mengetepikan timbalan menteri Datuk Razali Ibrahim untuk menawan kerusi parlimen Muar, Johor.

Syed Saddiq memperoleh 22,341 undi berbanding Razali 15,388. Seorang lagi calon yang bertanding di Muar, Abdul Aziz Talib (PAS) cuma mengumpul 4,354 undi.

Kata Syed Saddiq antara tawaran yang dibawanya untuk golongan muda di negara ini ialah berkaitan pemilikan rumah mampu milik serta bebanan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Tidak ketinggalan menjadi agenda pemuda itu ialah kualiti perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi.

"Tolonglah, gosip tidak akan menyelesaikan masalah anak muda," ciapnya lagi.

Lihat Komen
ADS