Seni & Hiburan Malaysiakini

Dangdut sama dangdut tapi Rhoma 'alergik' sama Inul

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Meskipun memperjuangkan genre sama dalam dunia hiburan, penyanyi dangdut Rhoma Irama dan Inul Daratista sebenarnya tidak pernah ‘sebulu.’

Konflik antara Rhoma dan Inul bermula sejak lama, atau lebih tepat: 2003. Ketika itu Raja Dangdut berkenaan begitu lantang mengecam aksi Goyang Ngebor yang dipersembahkan Inul.

Kata Rhoma, goyang yang turut mendapat julukan “gelek gerudi maut” itu mengundang impak negatif dan berunsur lucah, selain merendah-rendahkan imej penyanyi dangdut.

Namun, baru-baru ini Inul pernah dilihat bertemu Rhoma lalu kemudian mencium tangan penyanyi veteran itu sebagai tanda hormat.

Kepada segelintir pihak, aksi berkenaan mungkin menandakan berakhirnya perseteruan di antara kedua-dua selebriti itu.

Bagaimanapun, situasi tegang muncul semula apabila Rhoma bersikukuh menyatakan dia tidak mahu berada sepentas atau hadir dalam acara yang turut dihadiri Inul.

Justeru semasa pusingan akhir Liga Dangdut Indonesia (LIDA) 2018 berlangsung di Jakarta pada 14 Mei lalu Inul tidak muncul walaupun menjadi juri.

Rhoma pula hadir sebagai tetamu undangan.

Menganggap itu bukan suatu perkara baru, pemilik nama sebenar Ainur Rokhimah, 39, itu sebaliknya sanggup mengalah apabila berdepan kekerasan hati Rhoma.

“Ada banyak jadual acara TV dan off-air yang sering berlaga. Aku harus mengalah kerana Rhoma tidak mahu sepentas dengan aku,” katanya dipetik tabloidbintang.

Bagaimanapun, anak kelahiran Sidoarjo, Jawa Timur itu, tidak menganggap ia sebagai isu yang perlu diperbesarkan kerana dia yakin dengan rezeki yang ditentukan Tuhan.

“Tapi aku tidak apa-apa. Rezeki Allah yang atur,” katanya.