Radiohead boleh beraksi di M'sia jika Nurul Izzah mahu
Ketika ramai peminat memasang harapan untuk melihat Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar mengotakan janjinya membawa kumpulan Radiohead ke negara ini, muncul pihak menawarkan diri sebagai penganjur bagi merealisasikan hasrat YB baru itu.
Sebagai tanda sokongan terhadap janji pernah dibuat Nurul Izzah lima tahun lalu, The Livescape Group tampil membuka peluang melalui Rockaway Festival agar Naib Presiden PKR itu berurusan dengan mereka.
“Kami menulis surat ini untuk mengingatkan diri sendiri mengapa perlu berterusan menyokong industri muzik. Kami berterima kasih kerana anda memperjuangkannya.
“Kami di sini ingin membantu anda menggegarkan Malaysia dengan Radiohead. Apa yang kamu perlu buat adalah bertanya,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Ditubuhkan pada 2010, Rockaway Festival suatu nama tidak asing lagi dalam industri tempatan. Ia pesta muzik rock yang menghimpunkan kugiran berpengaruh dari dalam dan luar negara.
Pernah tampil nama besar
Rockaway Festival pernah menampilkan nama-nama besar artis antarabangsa antaranya Scorpions, Third Eye Blind, Unearth, Soulfly, Paramore dan Sum 41.
Terdahulu, seorang pengguna Twitter menggunakan akaun @AlepWilcox mengingatkan Nurul Izzah untuk menepati janji sekiranya berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), pada 2013.

Janji itu dibuat pada tahun sama sewaktu Nurul Izzah ditemubual oleh majalah Esquire untuk isu keluaran Julai.
Dalam wawancara berkenaan, anak sulung pasangan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu menyatakan kesediaannya untuk membawa band kegemarannya yang berasal dari Abingdon, Oxfordshire itu.
"Jika kami berjaya menakluk Putrajaya, saya akan bawa Radiohead ke Kuala Lumpur," kata wakil rakyat berusia 38 tahun itu.
Janji adalah janji
Dan sebagai respon kepada ciapan @AlepWilcox itu Nurul Izzah menjawab: "Sesungguhnya janji adalah janji."
Indeed. A promise is a promise #PostRamadanDiscussion . Now get on to work! ? https://t.co/AV0px9U0HB
— Nurul Izzah (@n_izzah) May 19, 2018
Semakan Malaysiakini hingga petang ini mendapati ciapan Nurul Izzah yang mengungkapkan “janji adalah janji” itu mendapat lebih 3,000 ulangan dan lebih 4,000 tanda suka.
“Ini secara tidak langsung menunjukkan peminat muzik tempatan bersetuju dengan visi anda dan mereka juga mahu menyaksikan impian itu menjadi realiti,” menurut kenyataan itu lagi
Walaupun hasrat Nurul Izzah tidak dapat dilaksanakan selepas PRU ke-13, beliau mungkin boleh 'menebusnya' apabila parti komponen HARAPAN menang majoriti mudah di Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.
Lakukan sesuatu, sokong industri
Radiohead ditubuhkan pada 1985 popular dengan lagu-lagu seperti Creep, Karma Police, High and Dry dan My Iron Lung.
Dalam pada itu, The Livescape Group menyatakan walaupun muzik boleh membawa maksud dan penerimaan yang berbeza-beza, masih ada perkara yang kekal sama.
“Kami tahu industri muzik kita begitu hebat dan bertenaga dan kita mempunyai banyak bakat tempatan yang menginginkan platform bagi mengetengahkan bakat, kebolehan dan minat mereka.
“Justeru, jika permintaan ini menyentuh perasaan kamu, maka lakukan sesuatu terhadapnya. Sokonglah industri muzik kita dan tunjukkan betapa sayangnya kamu kepada pemuzik yang kamu minati,” kata syarikat berkenaan.

