Mulan ucap selamat tinggal buat pakaian ketat, seksi
Walaupun pernah ragu-ragu, akhirnya Mulan Jameela memutuskan untuk mengenakan hijab.
Pandangan isteri Ahmad Dhani itu mengenai kehidupan menjelang usianya mencecah 39 tahun pada Ogos depan berubah selepas melawat Palestin pada April lalu.
Namun, hati Mulan betul-betul mantap untuk memakai hijab mulai dua hari sebelum Ramadan.
Mulan sebelum ini terkenal sebagai seorang penyanyi yang sering tampil dengan pakaian seksi dan ketat sewaktu mengadakan satu-satu persembahan.
Disebabkan Mulan sudah menutup aurat, dia tidak lagi boleh memakai baju-baju yang ada dalam simpanannya.
Justeru, langkah yang diambil untuk mengosongkan lambakan pakaian itu ialah dengan melelongnya.
“Banyak sangat baju ketat, tidak mungkin saya memakainya lagi. Lalu rakan-rakan ajak melelong pakaian berkenaan dan hasilnya didermakan,” katanya.
Jelas penyanyi Makhluk Tuhan Paling Seksi itu, sudah menjadi kebiasaannya untuk menyumbangkan pakaian kepada golongan yang memerlukan.
“Memang dari dulu lagi saya suka mendermakan baju-baju. Kadang-kadang ke rumah anak yatim atau sedara mara,” katanya.
Khabarnya Mulan sudah lama mempertimbangkan untuk berhijab, malah Ahmad pernah meminta dia berbuat demikian sejak 10 tahun lalu.

