Penyanyi rap Kanye West sekali lagi mengundang kontroversi apabila menggunakan gambar bilik mandi mendiang Whitney Houston yang dipenuhi dadah sebagai kulit sebuah album terbitannya.

Ia melibatkan album ketiga penyanyi rap Pusha T bertajuk Daytona yang dipasarkan sejak 26 Mei lalu.

Dan ia tidak menunggu lama untuk dikecam bekas suami Houston, penyanyi Bobby Bown.

"Mengapa dia perlu gunakannya untuk kulit album. Ini amat menjijikkan dan kasar.

"Dia sudah gila. Saya mengetahui perkara berkenaan sewaktu pertama kali bertemu dengannya. Sekarang dia sudah melampau dan perlukan seorang untuk menamparnya. Saya boleh berbuat demikian," katanya seperti dipetik laman People.

Whitney yang bergelut dengan ketagihan dadah berkahwin dengan Brown pada 1992. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Bobbi Kristina setahun kemudian sebelum berpisah pada 2007.

Pada Februari 2012, Whitney yang terkenal dengan lagu I Will Always Love You ditemui mati dalam tab mandi di Hotel Beverly Hilton, California.

Menurut laporan, punca kematian ikon itu adalah lemas tidak disengajakan, masalah jantung dan penggunaan kokain.

Pada Ogos 2012, laporan autopsi menunjukkan dia turut mengambil Xanax, Benadryl dan ubat lain dalam sistem tubuhnya.

Bayar AS$85,000

Pada 2006, majalah National Enquirer menerbitkan gambar bilik mandi Houston yang dipenuhi peralatan dadah. Ia dirakam secara rahsia oleh seorang anggota keluarga ketika penghujung hayat penyanyi itu.

West dikatakan membayar AS$85,000 (RM338,000) untuk membeli hak gambar itu.

Sepupu Houston, Damon Elliot turut mengutuk West kerana menggunakan gambar itu.

"Saya rasa loya, imej itu mengimbau kembali keadaan enam tahun lalu. Saya benar-benar terkejut dan tidak menyangka West sanggup melanggar privasi keluarga seseorang seperti ini," katanya.

Anak saudara Houston pula berbeza pendapat apabila mempertahankan tindakan suami kepada Kim Kardashian itu.

"Saya tak mahu keruhkan keadaan. Masyarakat akan menyalahkan West dan Pusha T dan mendakwa mereka berniat jahat untuk mendapatkan publisiti.

"Tetapi mereka adalah artis zaman ini, jika mereka boleh bayar seseorang untuk imej dan gunakannya sebagai mesej visual yang mengiringi karya, maka biarkanlah," katanya lagi.