Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lan Solo teruja tatap wajah anak lepas bedah sumbing

Keterujaan penyanyi Lan Solo tidak dapat dibendung selepas melihat wajah anak perempuannya yang baru selesai menjalani pembedahan merawat sumbing tengah hari tadi.

Katanya, apabila mengamat-amati rupa Nur Amna Quxandra, wajah anak keempatnya itu menyamai abangnya, Muhammad Akid Qassyaff (Akid), berumur tiga tahun.

“Alhamdulillah, baru selesai pembedahan. Saya sangat berpuas hati dengan proses pembedahan yang dijalankan.

“Sebelum ini, memang saya teruja nak melihat macam mana muka dan keadaan bibir anak saya itu selepas pembedahan.

“Apabila memandang wajah Qusandra yang terkini, eh nampak macam muka abang dia pula,” katanya kepada Malaysiakini.

Qusandra, menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jam 9.30 pagi tadi. Pembedahan itu memakan masa kira-kira tiga jam.

Menurut penyanyi lagu Berpisah Tanpa Rela itu, Qusandra, bayi berusia 3 bulan, kini dilaporkan dalam keadaan stabil, bagaimanapun, bayi itu belum boleh sedarkan diri sepenuhnya.

Lan dalam pada itu berharap pembedahan berkenaan akan menjadi yang terakhir buat anaknya.

“Insya-Allah tiada pembedahan lagi, sudah selesai. Cuma saya dan isteri harus memastikan rawatan susulan untuk gusi yang mempunyai garisan seakan-akan nak terbelah.

“Kami takut semakin Qusandra membesar, garisan itu juga ikut sama, justeru kena selalu diperiksa gusi itu,” katanya.

Jagaan rapi, pantau perkembangan

Bekas vokalis kumpulan Kristal itu turut dinasihatkan doktor agar dia menitik beratkan penjagaan sewajarnya untuk bayi berkenaan.

Dia diminta menggunakan botol susu khas bagi menjaga bahagian mulut yang dibedah.

Dalam pada itu, kata Lan, anaknya itu belum boleh dibenarkan keluar hospital dan memerlukan penjagaan rapi bagi memantau perkembangan kesihatannya.

“Mungkin sehari dua lagi Qusandra boleh dibenarkan keluar hospital, tetapi sebelum itu, biarlah jururawat di sini mengajar pengalaman pertama bagaimana menjaga Qusandra,” katanya.

Lan dan isterinya, Nur Sheila Hassim berkahwin pada Disember 2009. Hasil perkahwinan itu, mereka turut dikurniakan dua lagi cahaya mata lain, Nur Amna Qaleesya, enam tahun, Nur Amna Qeesyara, empat tahun.

Lihat Komen
ADS