Mangsa Weinstein lalui kehidupan baru
Seorang daripada mangsa nafsu buas Harvey Weinstein, Rose McGowan meluahkan perasan yang selama ini terpendam selepas penerbit filem itu secara rasmi didakwa di mahkamah atas tuduhan rogol dan serangan seksual.
Dalam kenyataannya di Instagram, aktres berkenaan menyifatkan dakwaan atas tuduhan merogol itu sebagai “bab baru dalam kehidupan mereka berdua.”
Rose wanita pertama sebelum kira-kira 80 mangsa yang lain mengaitkan penerbit filem itu dengan salah laku seksual tahun lalu.
Sejak itu, berpuluh-puluh lagi wanita tampil membuat dakwaan ke atas Weinstein sejajar dengan gerakan kempen #MeToo.
“Akhirnya didakwa. Saya telah dikecam oleh media yang dibeli olehnya selama bertahun-tahun untuk burukkan saya. Sekarang adalah bab baru untuk kami berdua.
"Media, penulis blog, laman web dibayar oleh perogol bersiri itu untuk memalukan dan mengaibkan saya. Kisah rogol itu dijual seolah-olah ia sebuah fiksyen," kata Rose yang kini nekad menjalani kehidupan baru.
Menurut Rose, penulis dan wartawan terbabit berasa mereka berada dalam keadaan selamat kerana tidak pernah merasai penderitan dan pengalaman pahit yang dilaluinya itu.
“Apa yang mereka mahu lihat hanyalah angka, jumlah tontonan dan rating.
"Dan kamu semua diberitahu bahawa saya bagaikan kisah seram. Seseorang yang telah rosak, seseorang yang tidak betul,” kata Rose.
Berkongsi kisahnya lebih lanjut, Rose, 44, berkata, tujuan dia membintangi dokumentari Citizen Rose adalah untuk membetulkan persepsi mengenai dirinya kepada umum.
“Saya sentiasa bercakap yang benar. Saya tahu apa yang telah saya buat untuk ubah dunia ini. Saya berdepan hukuman kerana mahukan masyarakat yang lebih baik dan bebas.
“Saya menjalani kehidupan yang lebih perit daripada orang lain. Saya tahu kebenarannya," jelasnya.
Menurut Rose, episod terakhir dalam Citizen Rose menunjukkan bagaimana dia berdepan trauma, namun berjaya meneruskan kehidupan dan mengakhiri pengalaman hitam itu.
"Saya tahu apa yang saya lakukan untuk mengubah dunia. Bagaimana dengan anda?” katanya.
Weistein, 66, didakwa minggu lalu atas dua kesalahan rogol dan satu jenayah salah laku seksual.
Dia bagaimanapun bebas selepas membayar AS$1 juta dolar wang jaminan dan bersetuju memakai alat pemantau elektronik, menyerahkan pasport dan mengehadkan perjalanan ke New York dan Connecticut.
Dalam satu kenyataan, peguam Weinstein, Benjamin Brafman berkata anak guamnya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan.
Weinstein pernah menerbitkan filem-filem seperti Phantoms, Good Will Hunting, Malena, Shakespeare in Love dan Pulp Fiction.

