Satu lagi harapan golongan selebriti selepas pertukaran kerajaan - agar 'membersihkan' industri hiburan daripada golongan kroni yang didakwa mengambil kesempatan terhadap mereka.

Sekurang-kurangnya itulah yang disuarakan vokalis kumpulan Prime Domestic, Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Noriyissham.

Dia berkata sudah tiba masanya mereka tidak lagi berdiam diri terhadap kewujudan apa yang disifatkannya sebagai kroni dalam radio dan stesen televisyen.

"Hantar produk tetapi tak diputarkan, jadi macam mana artis nak cari makan. Kalau bersuara sedikit kena gam. Adakah kita mahu perkara ini berterusan?

"Bagus jika pihak tertentu dapat ambil tahu dan bertindak untuk industri muzik dan perfileman. Buat rombakan untuk bersihkan kroni dalaman radio, televisyen dan lain-lain," katanya di Instagram.

Aweera, 26, bagaimanapun tidak merujuk secara terus 'kroni' yang dimaksudkan mahupun 'pihak tertentu' yang dimaksudkannya.

Terdahulu pengarah Ahmad Idham juga menyuarakan perkara serupa, iaitu agar kerajaan HARAPAN menghentikan amalan melantik ahli politik atau pegawai kementerian bagi mengetuai badan seperti Perbadanan Kemajuan Perfileman Malaysia (FINAS).

Gesaan itu dibuat hari sama ADUN Slim daripada Umno, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meletakkan jawatan sebagai pengerusi FINAS.

Aweera yang juga bekas vokalis kumpulan Mojo kemudian mengajak golongan selebriti untuk sama-sama membangkitkan isu itu.

"Muzik adalah kebebasan. Agak-agak ada tak yang hendak bersatu ketengahkan hal ini? Sampai bila karya-karya kita hendak dipermainkan sebegini?

"Saya bukan sesiapa, cuma rasa terkilan dengan segelintir pihak di atas. Harap pihak tertentu dapat memberi respons kepada insan seni seperti kami," katanya lagi.