Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fasha sedia mohon maaf pada Nora sempena Ramadan
Diterbitkan:  Jun 1, 2018 8:28 PM
Dikemaskini: 12:32 PM

Sempena bulan Ramadan yang mulia, pelakon Fasha Sandha menyatakan kesediaannya untuk memohon maaf kepada Nora Danish, sekali gus meleraikan sengketa antara mereka yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Fasha, 34, berkata, keputusan diambil demi mengenangkan anak dan keluarga kedua-dua belah pihak selain menyifatkan berdamai sebagai jalan terbaik agar mereka dapat menjalani kehidupan dalam suasana harmoni.

“Saya bersedia melakukannya atas sebab kekeluargaan memandangkan anak sulung Nora, Putera Rayqal Ramli Rizal Ashram adalah abang kandung kepada dua cahaya mata saya.

“Justeru, saya ambil keputusan untuk memohon maaf secara terbuka kepada Nora atas luahan hati saya di laman sosial mengenai isu yang terjadi pada majlis pertunjukan fesyen tahun lalu yang didakwa mengguris perasaannya.

“Bagi saya, berdamai adalah jalan terbaik kerana isu antara kami sudah berlarutan terlalu lama,” katanya seperti dilapor BH Online.

Insiden yang mencetuskan perseteruan mereka bermula pada 10 Mei tahun lalu apabila Fasha mendakwa ada artis yang akan menarik diri dalam pertunjukan fesyen Fenomena Aidilfitri 2017 sekiranya dia turut hadir ke acara terbabit.

Melalui perkongsian di Instagram, Fasha memuat naik kenyataan bahawa dirinya cuba dimalukan artis terbabit.

“Semalam, awak cuba memalukan orang, cuba nak halau orang dari majlis. Kamu ingat dengan kekayaan yang kamu ada, boleh sesuka hati nak cuba menghalau orang dari majlis yang bukan kepunyaan kamu,” katanya.

Walaupun tidak menjelaskan siapa individu dimaksudkan, pengikut media sosial masing-masing mula membuat spekulasi apabila Fasha mengakhiri kenyataannya dengan menyebut “Semoga yang terbaik untuk kamu burung hantu” sambil mengiringi status itu dengan tanda pagar #moveonplease.

Untuk rekod Nora memiliki perniagaan tudung yang diberi nama Owl by Nora Danish.

Nora pula dalam satu sidang media memberitahu dia akan memfailkan saman kerana difitnah dan menganggap tuduhan Fasha tidak berasas selain menjejaskan kredibiliti dan reputasinya sebagai usahawan.

Doakan yang terbaik

Fasha berkata, pada usianya begini dia mampu untuk berfikiran lebih matang dalam menilai setiap tindakan dan keputusan yang dibuat demi kebaikan anak mereka yang sedang membesar.

“Apabila difikirkan semula, untuk apa kami bermusuh terlalu lama sedangkan anak kami mempunyai pertalian antara satu sama lain. Tidak elok jika mereka melihat hubungan kami berdua berterusan dilanda masalah.

“Saya tidak kisah memohon maaf, malah berterima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan kami supaya berbaik semula. Syukur kerana Allah memperkenankan doa itu dengan bantuan peguam kami,” katanya.

Terdahulu, Fasha mengaku dia dan Nora pergi ke Pejabat Mediasi di Mahkamah Shah Alam minggu lalu, namun meminta jasa baik umum kerana tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

“Saya cuma berharap semua pihak mendoakan yang terbaik untuk kami. Insya-Allah, saya akan mengeluarkan kenyataan memohon maaf secara rasmi dalam masa terdekat,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS