Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Si Baju Hijau' idam kisahkan pengalaman dalam biografi

Pada usianya mencecah 66 tahun tidak hairanlah jika Sanisah Huri bercita-cita mahu berkongsi kisah hidupnya dengan orang ramai.

Apatah lagi daripada tempoh 66 tahun itu, 50 tahun daripadanya berlegar di sekitar dunia nyanyian yang kini seolah-olah menjadi darah dagingnya.

Ditemui media semalam penyanyi Sejakku Bertemu Padamu itu berkata hajat berkenaan belum boleh disempurnakan buat masa ini.

Sebabnya kata Sanisah Huri dia memerlukan bantuan pihak ketiga supaya boleh menerbitkan biografinya.

"Saya nak terbitkan biografi di Malaysia tetapi masih mencari pihak penaja yang sedia menampung kosnya.

"Ada banyak cerita yang belum diketahui ramai atau kisah sebenar di sebalik khabar-khabar angin yang bertiup suatu ketika dulu," katanya.

Terdahulu Sanisah Huri ditemui sempena pelancaran album raya Nada Seni - Gema Lebaran Legenda di Petaling Jaya.

Juga mahu konsert mini

Album itu mengandungi 24 lagu Aidilfitri yang didendangkan semula oleh 12 penyanyi baru dan lama.

Nada Seni - Gema Lebaran Legenda diterbitkan oleh Ajai, Hadi dan S Atan, manakala penerbit eksekutif pula terdiri daripada Ajai dan Adib Khalid.

Selain Sanisah Huri, penyanyi lain yang menyumbangkan suara ialah Ramlah Ram, Datuk Yusni Hamid, Salamiah Hassan, Haziq, Hael Husaini dan Hazama.

Menurut Sanisah Huri, mengikut impiannya selepas menerbitkan biografi itu dia bercadang mengadakan konsert mini pula, juga di Malaysia.

Katanya ia adalah sebagai penghargaan kepada peminat seni suara, terutama yang mengenalinya.

Untuk itu Sanisah Huri juga berharap ada pihak yang mahu menaja konsert mini berkenaan.

"Di Singapura saya masih mendapat undangan mengadakan persembahan dari semasa ke semasa tetapi saya terpaksa memilih.

"Kebanyakannya terpaksa saya tolak disebabkan kekangan masa, terutama kerana saya perlu menjaga ibu yang berusia 90 tahun dan kini uzur," katanya.

Sanisah Huri berkata dia kurang berminat untuk menghebahkan perkembangan semasa dirinya melalui media sosial.

Justeru, katanya, dia lebih suka orang ramai mengetahui kisah dirinya melalui buku berbentuk biografi berkenaan.

Sementara itu mengenai rakaman album Nada Seni - Gema Lebaran Legenda, Sanisah Huri berkata dia perlu mengambil sedikit masa untuk mendapatkan penghayatan yang betul.

Mengakui ia tugas mencabar, Sanisah Huri berkata ia disebabkan oleh faktor usianya ketika ini.

"Saya perlukan masa satu jam untuk menyiapkan rakaman satu lagu," katanya yang turut dikenali dengan lagu malar segar Si Baju Hijau.

Menurut Sanisah Huri dia menerima tawaran merakamkan album berkenaan kerana mahu ada wakil dari Singapura di samping artis Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS