Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Giliran Siti bawa idea Majlis Kesenian ke kerajaan

Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin hari ini mengemukakan sekali lagi cadangannya mengenai pembentukan Majlis Kesenian Negara bagi menangani hal-hal berkaitan seni dan budaya di negara ini.

Kali ini usul berkenaan - serta beberapa cadangan lain - dikemukakan kepada badan rasmi yang bertindak memberi nasihat kepada kerajaan.

Ditemui selepas memberi penerangan di depan Majlis Penasihat Kerajaan, Siti Nurhaliza yang mewakili seni muzik, persembahan dan nyanyian berkata reaksi yang diterima daripada badan itu amat positif.

"Saya buat demi kepentingan industri dan bukan kepentingan sendiri. Alhamdulillah mereka mendengar apa yang saya dan rakan-rakan lain suarakan.

"Secara keseluruhan saya membincangkan peranan boleh dimainkan sesebuah majlis berkenaan," katanya kepada media di Menara Ilham, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu penyanyi Comel Pipi Merah itu pernah menyuarakan pendapatnya mengenai perubahan yang dijangkakan dapat dibawa Majlis Kesenian Negara sekiranya ia ditubuhkan.

Kata Siti Nurhaliza, fungsi majlis berkenaan antaranya menjadi rujukan tunggal untuk penggiat menyuarakan masalah dan menjadi tempat tumpuan untuk berkumpul serta berkarya.

Untuk perkembangan selanjutnya, Siti Nurhaliza turut memaklumkan beliau akan menyerahkan memorandum bertulis mengenai usul dicadangkan hari ini kepada kerajaan secepat mungkin.

Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez yang turut mengadakan pertemuan dengan penasihat kerajaan lapan hari lalu turut mengusulkan cadangan agar sebuah majlis kesenian ditubuhkan supaya penyelarasan menyeluruh dapat dilakukan dalam industri seni tanah air.

"Jika sebelum ini kita ada pelbagai persatuan yang menjaga hal ehwal bidang tertentu, ia mengakibatkan tiada penyelarasan yang baik dan menyeluruh.

"Justeru, lebih baik kita kumpulan kesemuanya dan diletakkan di bawah majlis kesenian yang dicadangkan ini bagi membangunkan industri secara terancang dan berkesan," katanya.

Lihat Komen
ADS