Biarpun sudah bergelumang dalam dunia hiburan selama lebih 30 tahun penyanyi Ramlah Ram mengaku dia kurang selesa sekiranya dirinya digelar artis veteran.
Kata penyanyi yang terkenal pada era 1980-an itu, selagi terdaya dan mempunyai kudrat untuk menghiburkan peminat, selagi itulah istilah veteran dirasakan tidak wajar dilabelkan pada dirinya.
"Seboleh-bolehnya saya belum mahu digolongkan dalam kategori itu.
"Bagi saya, golongan sesuai digelar veteran adalah apabila seseorang artis itu sudah bersara dari bidang diceburinya," katanya.
Ramlah Ram, 53, ditemui sempena pelancaran album raya Nada Seni - Gema Lebaran Legenda di Petaling Jaya kelmarin.
Penyanyi Kaukunci Cintaku Di Dalam Hatimu itu berkata dia mempunyai alasan tertentu mengapa tidak mahu digelar veteran.
"Sebenarnya memang tidak gemar dengan perkataan veteran kerana berasa seolah-olah dipinggirkan, tetapi sekiranya peminat menggelarkan otai atau legenda itu saya boleh terima.
"Bagi saya jika digelarkan sebagai otai atau legenda ia ibarat kehadiran atau nama seseorang itu akan sentiasa diingati buat selama-lamanya," katanya.
Pilih lagu kerohanian
Sementara itu, mengulas Nada Seni - Gema Lebaran Legenda Ramlah Ram berkata album berkenaan memuatkan dua lagu solo nyanyiannya iaitu Tibanya Syawal (nyanyian asal Datuk Sharifah Aini) dan Kumohon Restu Ayah Bonda (Al Jawaher).
Turut mewarnai albul itu ialah lagu Ramlah berduet bersama Syamel, Seloka Hari Raya (Uji Rashid dan Hail Amir).
"Saya menyanyikan lagu-lagu itu kerana menyukai nyanyian merdu artis lama dan bersyukur masih dikurniakan suara yang baik selain masih diberi kesempatan," katanya.
Album mengandungi 24 lagu Aidilfitri itu dinyanyikan 12 penyanyi baru dan lama. Ia sama ada lagu sendiri atau tribute kepada legenda seni yang telah kembali ke rahmatullah.
Antaranya Tan Sri P Ramlee, biduanita Saloma, Rafeah Buang, S Jibeng dan Datuk Ahmad Jais.
Ia diterbitkan oleh Ajai, Jadi dan S Atan manakala penerbit eksekutif pula terdiri daripada Ajai dan Adib Khalid.
Selain anak kelahiran Muar, Johor itu, penyanyi lain turut menyumbangkan suara ialah Sanisah Huri, Datuk Yusni Hamid, Salamiah Hassan, Haziq, Hael Husaini, Ziana Zain, Haziq dan Hazama.
Dalam perkembangan lain, Ramlah Ram berkata dia merancang untuk menerbitkan single terbaru buat peminat berjudul Masar Cinta.
Sesuai dengan usianya ketika ini, kata Ramlah Ram dia sengaja memilih tema lagu berunsur kerohanian dan ketuhanan.
"Masar, kata penulis lirik, membawa maksud umpama laluan. Ia mengisahkan lagu ketuhanan dan cinta pada Allah.
"Bagaimanapun ia masih membawa irama balada dan tidak menjurus kepada nasyid," katanya.
